MUAR – Bapa kepada mangsa kebakaran di Kampung Sekolah Paya Redan, Pagoh, di sini, akui tidak menyangka abang iparnya yang telah menetap bersama di kediaman berkenaan sanggup melarikan diri pada waktu kejadian.
Menceritakan kembali detik itu, Norhasyim Mohd Taher, 43, memberitahu, dia yang berada di Kuala Krai sejak Rabu lalu kerana menghantar stok barangan kilang terkejut sebaik dimaklumkan mengenai insiden berkenaan oleh jirannya.

“Saya menerima panggilan daripada jiran pada pukul 1.40 pagi yang menyatakan anak tiri saya (Norazima Mohd Radhi, 14) mengalami kecederaan. Namun, beberapa minit kemudian menerima panggilan yang kediaman pula terbakar.
“Saya cuba hubungi salah seorang jiran bertanya mana satu yang betul. Waktu itu, saya minta pertolongan mereka mencari Azman kerana dialah yang saya harapkan untuk tengokkan keadaan dan selamatkan anak-anak serta ibu bapa mentua.
“Tapi, malangnya, saya dimaklumkan Azman dah tiada. Motosikal dan topi keledar pun tidak kelihatan,” katanya ketika ditemui di perkarangan Unit Forensik, Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF), di sini, hari ini.
Ujar Norhasyim, dua anaknya itu tinggal bersama datuk dan nenek selepas ibunya meninggal dunia akibat kanser empat tahun lalu.
“Selama ini, sepanjang ketiadaan saya, dua beradik itulah yang menjaga datuk dan nenek memandangkan mereka sudah berusia.
“Norazima dan Noradriana sangat rajin, suka berkawan dan tidak pernah mendatangkan masalah kepada keluarga. Selepas ini, saya tidak lagi kedengaran suaranya,” katanya sambil menahan sebak.
Terdahulu, Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhlis Azman Aziz berkata, individu bernama Azman Mohamed, 48, diminta untuk tampil bagi membantu siasatan berhubung kejadian berkenaan berikutan dia merupakan saksi utama kejadian tersebut.
Sebelum ini, media melaporkan tiga beranak iaitu datuk, nenek dan cucu meninggal dunia selepas kediaman mereka di Kampung Sekolah Paya Redan, Pagoh, di sini, musnah dalam kebakaran awal pagi tadi.
Polis mengesahkan mangsa yang maut di lokasi kejadian adalah pasangan suami isteri warga emas, Mohamed Nor Mohamed Yassin, 82 dan Ara Abdul Hamid, 76.
Manakala, seorang lagi mangsa kanak-kanak iaitu cucu kepada pasangan berkenaan, Noradriana Nor Hisyam, 11, dilaporkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital, sementara kakaknya Norazima Mohd Radhi, 14 dilaporkan cedera di kepala dan masih dirawat di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF), di sini.





