KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menegaskan perpaduan, sikap saling menghormati dan nilai ihsan perlu terus diperkukuh sebagai asas utama kekuatan Malaysia.
Beliau berkata, negara akan terus mara dengan yakin sekiranya rakyat berpegang teguh pada prinsip keharmonian dalam mendepani perbezaan.
Sempena sambutan Tahun Baharu Cina, beliau turut mendoakan agar rakyat Malaysia dikurniakan kesejahteraan serta kemakmuran yang berpanjangan.
“Tahun Baharu Cina sentiasa mengingatkan kita mengenai kemakmuran, harapan dan kekuatan untuk melangkah ke hadapan dengan penuh keyakinan.
“Pada tahun Kuda ini, ketekunan, keberanian dan semangat juang diraikan seiring tuntutan untuk bertindak dengan kebijaksanaan serta kesederhanaan.
“Confucius mengingatkan kita bahawa keharmonian lahir apabila manusia saling menghormati dan memahami satu sama lain,” katanya menerusi kenyataan yang dimuat naik di Facebook, hari ini.
Anwar berkata, nilai keharmonian, rasa hormat dan ihsan menjadi landasan penting bagi memastikan masyarakat majmuk di negara ini terus hidup dalam suasana aman walaupun berlainan latar belakang budaya dan kepercayaan.
“Tatkala wacana awam semakin mudah diganggu emosi dan hasutan, kita tidak boleh membiarkan perbezaan pandangan meretakkan hubungan dan menghakis rasa percaya yang telah terbina antara rakyat Malaysia sejak sekian lama.
“Sebaliknya, perbezaan ini harus menjadi ruang untuk memperteguh semangat muhibah, menolak prasangka serta memilih jalan dialog, rundingan dan kebijaksanaan,” katanya.
Beliau turut mengucapkan “Gong Xi Fa Cai! Xin Nian Kuai Le! Ma Nian Xin Da Yun!” kepada semua yang menyambut perayaan berkenaan.





