SUNGAI SIPUT – Selaras dengan aspirasi Kerajaan Madani melalui Dasar Pendidikan Digital Negara, Tabung Haji melalui Yayasan Didik Negara memperuntukkan sebanyak RM499,740 bagi sumbangan peranti pintar kepada Orang Asli melibatkan tiga negeri iaitu Perak, Pahang dan Kelantan pada tahun ini.
Peranti pintar tersebut termasuk peranti tablet, papan pintar atau ‘smartboard’ dan peranti kemudahan capaian internet.
Pengarah Urusan Kumpulan Dan Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji, Syed Hamadah Syed Othman berkata, inisiatif bersama yayasan di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) itu adalah usaha meluaskan lagi akses pendidikan kepada pelajar di luar bandar.
Katanya, usaha dalam menyediakan kemudahan digital kepada semua golongan pelajar itu secara keseluruhan melibatkan 13 buah sekolah di tiga negeri terbabit.

Jelasnya, Tabung Haji menyumbangkan sebanyak 13 smartboard, 474 unit tablet dan 11 unit peranti satelit Starlink bagi kemudahan bilik darjah digital.
“Kerjasama ini melibatkan 13 buah sekolah untuk ketiga-tiga negeri iaitu Perak, Pahang dan Kelantan.
“Malah, Tabung Haji turut memberi bantuan pembelajaran di luar bilik darjah melalui Program Peningkatan Jati Diri dan Lawatan Sambil Belajar,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, Program Peningkatan Jati Diri dan Lawatan Sambil Belajar menyasarkan kepada empat Jabatan Pendidikan Negeri iaitu di Johor, Negeri Sembilan, Selangor dan Terengganu.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Sumbangan Peranti Tablet, Smartboard Serta Starlink oleh Tabung Haji Melalui Yayasan Didik Negara di Sekolah Murid Orang Asli di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bawong, dekat sini pada Isnin.

Majlis dirasmikan Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek dan turut dihadiri Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Khairudin Abu Hanipah serta Pengarah Pendidikan Negeri, Safuan Raba’ai.
Tambah Syed Hamadah, pihaknya komited dalam melaksanakan tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang bukan sahaja menyokong aspek pengurusan atau ibadah haji, malah turut mahu memastikan masyarakat mendapat manfaat dari segi pendidikan, ekonomi dan sosial.
Sebelum itu, Safuan dalam ucapan berkata, sebanyak tujuh buah sekolah murid Orang Asli di Perak dipilih Tabung Haji melalui Yayasan Didik Negara untuk menerima sumbangan tersebut.
Menurut beliau, ia melibatkan 269 unit peranti tablet, tujuh televisyen pintar, dan lima unit peranti internet Starlink.
“Sumbangan peralatan ini sudah tentu akan memberi faedah dan manfaat yang amat berguna dalam proses pembelajaran murid bagi menyahut seruan KPM ke arah Dasar Pendidikan Digital Negara,” ujarnya.




