KLUANG — Satu kelebihan buat Calon Barisan Nasional (BN), Syed Hussien Syed Abdullah apabila fasih berbahasa Cina.
Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, kelebihan ini menampilkan kelainan yang dibawa oleh Syed Hussien sekaligus menambat hati pengundi Cina di Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota.
“Pengundi Cina, pertamanya lebih melihat kepada ketokohan, kedua dari segi bahasa tiada kekangan langsung.
“Ketiga, beliau memahami budaya dan pernah jadi ahli Majlis di sini, selain belajar di sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC), sudah tentu tiada masalah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membantu kempen calon Barisan Nasional (BN) Syed Hussien Syed Abdullah di Kafe Cawan Mas di sini hari ini.
Tambah Ka Siong, calon BN juga tidak kekok berinteraksi dan bergaul dengan pelbagai lapisan masyarakat serta kaum.
“Saya nampak penerimaan pelbagai kaum dan masyarakat sangat baik kepada calon ini memang agak memberangsangkan.
“Komunikasi beliau dengan masyarakat melayu, cina dan india menampakkan satu kelebihan kepada calon ini. Saya rasa calon kita cukup rajin, mereka bagi kata-kata perangsang kepada calon,” katanya.
Justeru, beliau turut meyakini calon muda itu sebagai anak watan faham dengan masalah masyarakat setempat.
“Syed Hussien merupakan pasukan orang muda di bawah pimpinan Datuk Onn Hafiz Ghazi sudah tentunya Maju Johor ini sebuah agenda yang besar dan saya nampak keterampilan beliau, pemimpin yang muda tetapi dinamik,” ujarnya.
PRK DUN Mahkota diadakan susulan kematian penyandangnya Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 64, pada 2 Ogos, semasa menerima rawatan di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom di sini.






