
LIMA lelaki yang disyaki terlibat dalam kes pukul melibatkan lelaki orang kurang upaya (OKU) di sebuah pasar pagi di Kemaman, Terengganu, sudah membayar denda RM2,000 manakala seorang lagi minta dibicarakan di Mahkamah Sesyen Kemaman Isnin lalu.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Mohd Razi Rosli berkata, semua tertuduh sebelum ini disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.
“Pada Isnin lalu, enam individu ditahan berhubung kes tersebut dan dituduh di Mahkamah Majistret Kemaman.
“Lima lelaki tersebut mengaku bersalah manakala seorang lagi minta dibicarakan.
“Semua yang mengaku bersalah dijatuhkan hukuman denda RM2,000 setiap seorang dan mereka membayar denda tersebut.
“Jadi kita menasihati orang ramai supaya tidak mengeluarkan sebarang kenyataan dan spekulasi tidak benar.
“Pihak polis sentiasa memastikan siasatan dijalankan secara telus dan adil,” katanya dalam kenyataan.
Media sebelum ini melaporkan kejadian seorang lelaki dipukul di pasar pagi Jalan Padang Astaka, Chukai, Kemaman.
Siasatan awal mendapati kejadian berlaku apabila mangsa yang menunggang motosikal memasuki tapak jualan dan terlanggar sebuah gerai, menyebabkan barangan jualan di gerai tersebut terjatuh dan bertaburan di jalan.