
SERIAN – Seramai 84 penerima dari 14 kampung di kawasan Parlimen Serian mampu tersenyum lega apabila menerima ‘Sumbangan Ikhlas Setulus Kasih’ dalam satu majlis yang berlangsung di Hotel Roxy pada Khamis.
Program kebajikan berkenaan dianjurkan khusus bagi menyantuni komuniti Islam setempat, sekali gus membantu mereka membuat persiapan menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini.
Majlis penyerahan sumbangan tersebut telah disempurnakan oleh Ahli Parlimen Serian, Datuk Seri Richard Riot Jaem.
Daripada jumlah keseluruhan itu, seramai 20 penerima merupakan wakil dari Masjid Daerah Serian serta surau-surau di sekitar kawasan Parlimen berkenaan.
Setiap penerima membawa pulang sumbangan berbentuk wang tunai berserta pakej kuih raya sebagai usaha meringankan beban perbelanjaan mereka menjelang Syawal.
Beliau juga berharap sumbangan yang dihulurkan itu, walaupun jumlahnya mungkin tidak besar, namun mampu memberi makna serta menyuntik kegembiraan kepada golongan yang memerlukan.
Penganjuran majlis yang dihadiri para penerima serta pihak jawatankuasa penganjur itu turut mencerminkan semangat kebersamaan dan keprihatinan pemimpin terhadap kebajikan masyarakat setempat.
Foto: FB YB Richard Riot







