
KUANTAN – Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan ucapan takziah di atas pemergian Profesor Diraja yang juga tokoh pemikir peradaban Islam kontemporari, Tan Sri Syed Muhammad Naquib Al-Attas, petang semalam.
Baginda berdua mendoakan agar roh Allahyarham ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman dan beramal soleh.
“Sultan Pahang dan Tengku Ampuan juga berharap agar segala urusan keluarga Allahyarham dipermudahkan serta tabah di atas kehilangan insan yang tersayang,” titah baginda dalam satu hantaran di Facebook Kesultanan Pahang, hari ini.
Pada Oktober 2024, Allahyarham dikurniakan gelaran Profesor Diraja atas sumbangannya terhadap negara dalam bidang pendidikan Islam oleh Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.
Gelaran Profesor Diraja ialah anugerah tertinggi dikurniakan Yang di-Pertuan Agong kepada ahli akademik yang memberi sumbangan besar kepada masyarakat dan kemajuan negara.
Sebelum ini, satu-satunya tokoh yang pernah menerima gelaran berkenaan ialah Ungku Abdul Aziz Ungku Abdul Hamid pada 1978.
Allahyarham yang dilahirkan pada 1931 di Bogor, Jawa Barat, Indonesia turut mengasaskan Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam (ISTAC) serta memperkenalkan gagasan Islamisasi ilmu yang mempengaruhi pelbagai cabang ilmu termasuk falsafah, teologi dan pendidikan.
Sepanjang kerjaya ilmiahnya, beliau menghasilkan lebih 30 buku dan monograf yang menjadi rujukan penting dalam kajian peradaban dan falsafah Islam.





