
KOTA SAMARAHAN – Atlet berpasukan Sarawak yang berjaya meraih pingat emas dalam acara Sukan Malaysia (SUKMA) XXI Sarawak 2024 akan diberi insentif minimum RM1,000.
Menurut Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Keusahawanan Sarawak Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah, insentif tersebut jika dibahagi dalam kumpulan mungkin dapat kurang daripada RM1,000.
“Sebagai contoh, jika atlet hanya menerima RM500 selepas dibahagi, kerajaan Sarawak akan menambah RM500 lagi,” jelas beliau.
Beliau menjelaskan lebih lanjut insentif untuk acara pasukan meraih pingat emas akan diberikan insentif RM15,000.
“Maka jumlah ini akan dibahagi secara sama rata dalam kalangan ahli pasukan,” ujar beliau.
Oleh itu, jelas beliau, kerajaan Sarawak akan memastikan setiap ahli pasukan menerima sekurang-kurangnya RM1,000.
Beliau berkata demikian selepas menyampaikan pingat dalam acara futsal lelaki antara pasukan Sarawak dengan Selangor di Stadium Tertutup, Kota Samarahan pada Jumaat.
Sebelum ini, Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg mengumumkan insentif RM15,000 untuk pingat emas.
Manakala, atlet yang memperoleh pingat perak dan gangsa menerima RM5,000 dan RM3,000.