BUAT kesekian kalinya dapat kita lihat bekas Perdana Menteri (PM) – Tun Dr. Mahathir – mengecam Kerajaan Perpaduan.
Selalunya tuduhan beliau langsung tidak berasas – dengan frasa lain, tuduhan liar.
Terbaharu, bekas PM Keempat (PMIV) dan PM ketujuh (PMVII) itu mempolitikkan kepulangan Tun Daim Zainuddin ke negeri abadi.
Beliau mencuri tumpuan umum dengan mengatakan kononnya Tun Daim dizalimi – dihina dan diherdik hingga akhir hayat.
Kasihan betul ‘negarawan’ kita ini; lupa akan kisah ‘kesantunannya’ ke atas pihak lawan ketika berkuasa.
Siapa tidak kenal Tun Mahathir yang bermula dengan panggilan Dr. Mahathir sepanjang menjadi PMIV.
Masih ramai orang ingat, bukan sedikit musuh politik Dr. Mahathir terdera gara-gara Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).
Pada zaman pemerintahan beliau jugalah berlaku tragedi Memali akibat kegagalan menangani sengketa politik yang tajam.
Itu berbeza dengan layanan yang diterima Tun Daim Zainuddin ketika negara diurus oleh Kerajaan Perpaduan.
Sepanjang berada dalam proses mahkamah, ahli korporat dan bekas Menteri Kewangan itu diberikan layanan yang adil sebagaimana yang sepatutnya.
Hak Tun Daim mendapat rawatan di hospital apabila timbul sesuatu keperluan tidak pernah dinafikan, malah itu berkali-kali diingatkan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim (DSAI).
Itukah yang dinamakan penganiayaan?
Sekiranya itulah yang dimaksudkan Tun Mahathir, nampaknya berlaku krisis pemakaian definisi dalam kamus kehidupan beliau.
Takkanlah Tun Mahathir lupa, kes mata lebam pada penghujung 1990-an.
Kalaulah butiran kezaliman dalam kisah itu disenaraikan, tak muat buku nota untuk dicatatkan.
Pelbagai manipulasi dilakukan untuk memastikan selori najis dapat dilumurkan pada tubuh DSAI.
Ekoran usaha keras yang melibatkan banyak pihak, banyak kos, dan banyak skrip itu, wajah tuah yang ada pada DSAI bertukar menjadi jebat (kebusukan).
Bau lumuran najis oleh sekumpulan manusia durjana itu masih terlekat di tubuh DSAI hingga kini dan kekal menjadi modal politik pembencinya.
Ketika usia kian meningkat, tidak adakah sedikit perasaan “kembali ke pangkal jalan”?
Inilah yang sepatutnya difikirkan.
Sudah-sudahlah merapu ke sana ke mari seperti orang kehilangan akal budi.




