
SUASANA meriah dapat dilihat di pusat penamaan calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota di Dewan Tunku Ibrahim Ismail yang dipenuhi bakal calon PRK itu bersama penyokong mereka.
Bagaimanapun, keadaan terkawal dengan lebih 400 anggota dan pegawai polis ditempatkan di pusat penamaan calon serta kawasan berhampiran
Keadaan cuaca setakat ini baik dan dijangka melancarkan lagi proses penamaan calon yang bermula jam 9 pagi dan berakhir sejam kemudian.

Lapan laluan yang berdekatan dengan pusat penamaan calon iaitu Jalan Ismail, Jalan Station, Jalan Panggung, Jalan Persiaran Yayasan, Jalan Dato Kapt Ahmad,dan Jalan Mersing-Batu Pahat
ditutup sementara sejak jam 6 pagi tadi bagi memudahkan pergerakan bakal-bakal calon dan penyokong masing-masing.
Sekitar jam 8 pagi, calon Kerajaan Perpaduan, Syed Hussien Syed Abdullah daripada Barisan Nasional (BN) tiba bersama pimpinan tertinggi parti itu.

Antaranya, Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan; Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke dan Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong dan Naib Presiden PKR, Datuk Seri Amirudin Shari.
Menyertai mereka ialah pemimpin kanan parti komponen Kerajaan Perpaduan daripada PKR, DAP dan BN serta ratusan penyokong mereka.
Kira-kira 100 meter dari kawasan itu, kelihatan pula calon daripada Perikatan Nasional (PN) yang meletakkan bekas pemain bola sepak Johor FA, Mohamad Haizan Jaafar, yang hadir bersama-sama penyokong dipimpin oleh Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin dengan tema warna gabungan tersebut.

Bagaimanapun, penyokong PN dilihat tidak meriah seperti yang dipamerkan oleh pendokong Kerajaan Perpaduan yang disokong oleh akar umbi yang terdiri daripada pelbagai kaum.
Pusat penamaan dibuka 9 pagi ini berikutan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari ini sebagai hari penamaan calon dan 16 November sebagai hari mengundi bagi PRK DUN Mahkota.
PRK DUN Mahkota diadakan susulan kematian penyandangnya Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 63, pada 2 Ogos, semasa menerima rawatan di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom di sini.
SPR sebelum ini memaklumkan seramai 66,318 pengundi berdaftar layak menunaikan tanggungjawab pada PRK itu, terdiri daripada 61,397 pengundi biasa, 4,510 tentera serta pasangan, 401 polis dan 10 orang PTH (pengundi tidak hadir) luar negara.
Sehubungan itu, SPR membuka tiga pusat mengundi dengan 11 saluran bagi pengundian awal, manakala 20 pusat mengundi dengan 109 saluran akan dibuka pada hari pengundian, dengan jumlah petugas terlibat pada PRK itu seramai 1,126 orang.
Pada pilihan raya negeri sebelum ini, Sharifah Azizah menang dengan majoriti 5,166 undi dalam persaingan empat penjuru, melibatkan calon Pakatan Harapan (PH), PN dan Warisan.
Ini adalah PRK ke-10 selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 yang sebelum ini menyaksikan PRK Parlimen Kuala Terengganu (Terengganu); PRK DUN Simpang Jeram dan PRK Parlimen Pulai (Johor); PRK DUN Pelangai (Pahang); PRK DUN Jepak (Sarawak); PRK Parlimen Kemaman (Terengganu) dan PRK DUN Kuala Kubu Baharu (Selangor), PRK DUN Sg Bakap (Pulau Pinang) dan PRK DUN Nenggiri (Kelantan).