
ISU kenaikan tarif air dan pelaksanaan sistem parkir berpalang di Perlis mendedahkan lebih daripada sekadar kegagalan dasar, ia menyerlahkan satu hakikat yang semakin sukar diselindungkan iaitu kerajaan negeri pimpinan Perikatan Nasional (PN) semakin hilang kawalan terhadap komunikasi, keutamaan dasar dan bahkan kesepakatan dalaman sendiri.
Dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis pagi Selasa, rakyat menyaksikan bukan sahaja kritikan daripada Ketua Pembangkang, Gan Ay Ling, tetapi juga teguran terbuka oleh wakil rakyat kerajaan, Wan Zikri Afhtar Ishak (PN-Tambun Tulang) dan Haziq Asyraf Dun (PN-Beseri). Ia bukan serangan luar, tetapi luka dari dalam.
Kenaikan tarif air: Rakyat diminta bayar lebih untuk air keruh
Kenaikan caj minimum daripada RM7.20 kepada RM8.80 sebulan tidak mungkin diterima dengan mudah oleh rakyat Perlis, terutama ketika masalah asas seperti tekanan air lemah, gangguan bekalan dan air keruh masih berlarutan.
Dengan kadar Air Tidak Berhasil (NRW) melebihi 60 peratus adalah antara yang tertinggi di Malaysia. Rakyat bertanya, ke mana hilangnya air yang dibayar? Mengapa rakyat perlu tanggung kos kerugian akibat paip bocor dan sistem usang?
Gan Ay Ling (PH-Indera Kayangan) menyebut dengan jelas: “Separuh air hilang, bukan kerana rakyat guna banyak, tapi kerana kelemahan pengurusan. Tapi rakyat pula kena bayar lebih.” Beliau turut menuntut pelan tindakan menyeluruh, bukan hanya tarif baharu tanpa pembaikan nyata.
Parkir berpalang: Satu lagi episod pentadbiran tergesa-gesa
Dalam riuh-rendah kenaikan tarif air itu, isu parkir pintar berpalang masih lagi hangat dan menimbulkan keresahan besar apabila dilihat dilaksanakan terlalu tergesa-gesa, tidak melalui kajian rintis dan langsung tidak mengambil kira suasana bandar kecil Perlis.
Tinjauan awam satu-satunya Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bukan kerajaan terhadap 300 responden menunjukkan penerimaan rakyat terhadap parkir pintar berpalang hanya sekitar 13–18 peratus, satu angka yang membimbangkan.
Lebih menyedihkan, ADUN kerajaan sendiri mengakui kelemahan komunikasi. Wan Zikri secara terbuka mempersoal ketiadaan suara Exco dalam menjelaskan isu-isu besar, seolah-olah Menteri Besar terpaksa menanggung beban sendirian.
Krisis komunikasi: Bukan hanya isu dasar, tapi kepimpinan
Kedua-dua isu ini bukan semata-mata soal dasar yang tidak popular. Ia membongkar krisis komunikasi dan kepimpinan dalam pentadbiran negeri. Rakyat bukan sahaja tidak bersetuju, malah tidak faham apa yang dilakukan oleh kerajaan mereka.
Inilah punca sebenar, kegagalan penyampaian serta penjelasan selain melibatkan rakyat dalam setiap langkah besar. Malangnya, apabila penerangan gagal, pentadbiran turut dilihat gagal walaupun niat asal mungkin baik.
Isyarat awal kejatuhan?
Dalam politik, apabila suara rakyat dan suara dalaman parti mula menyatu dalam kritikan, ia bukan sekadar teguran, ia satu amaran.
Kerajaan negeri PN Perlis kini berada dalam keadaan defensif, dihimpit ketidakpuasan rakyat serta diserang daripada luar dan dalam.
Jika situasi ini tidak ditangani dengan segera, Perlis mungkin menjadi medan awal perubahan politik, perubahan yang dituntut bukan atas nama parti, tetapi atas nama tanggungjawab yang gagal ditunaikan.





