Status Peguam Negara sebagai anggota Kabinet tertakluk keputusan Jemaah Menteri – Azalina

PENETAPAN sama ada Peguam Negara (AG) akan dilantik sebagai anggota Kabinet selepas pelaksanaan pemisahan kuasa antara AG dan Pendakwa Raya akan ditentukan menerusi keputusan dasar Jemaah Menteri.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, perkara tersebut hanya dapat diputuskan selepas pemisahan kuasa dilaksanakan secara menyeluruh, termasuk pindaan terhadap Perlembagaan Persekutuan yang ketika ini hanya memperuntukkan satu jawatan iaitu AG.

“(Persoalan selepas ini) sama ada kita mahukan AG datang ke Parlimen, sudah tentu AG (kena) datang ke Parlimen kerana (sudah) menjadi Ahli Parlimen, sama ada (sebagai) senator (Ahli Dewan Negara) atau anggota Dewan Rakyat. Ini kalau (diputuskan kelak, kenalah) datang ke Parlimen.

“Namun, Yang Berhormat (YB) pun sedar dan tahu, (amalan sedia ada memperuntukkan) menteri bertanggungjawab menjawab bagi pihak AG (berkaitan) soalan, keputusan AG dan seterusnya.

“(Menteri menjawab bagi pihak AG walaupun) jawapan berkenaan bukanlah keputusan menteri,” katanya pada sesi lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN–Kota Bharu) berhubung kemungkinan AG menjadi anggota pentadbiran kerajaan selepas pemisahan kuasa antara AG dan Pendakwa Raya dilaksanakan kelak.

Menjawab soalan asal, Azalina memaklumkan bahawa cadangan pemisahan kuasa antara AG dan Pendakwa Raya merupakan sebahagian daripada agenda reformasi institusi yang penting bagi mengukuhkan prinsip akauntabiliti, ketelusan, dan meningkatkan kepercayaan rakyat terhadap sistem keadilan negara.

Beliau berkata, kerajaan memberi perhatian serius terhadap pelaksanaan pemisahan kuasa ini dan mengambil pendekatan yang teliti, menyeluruh dan inklusif serta tidak mahu melaksanakan perubahan ini secara tergesa-gesa kerana ia melibatkan aspek teknikal perundangan serta kepercayaan awam terhadap sistem keadilan.

Menurut beliau, Jemaah Menteri pada 10 September lalu telah membuat keputusan dasar bersetuju untuk melaksanakan model pengasingan kuasa secara penuh, dengan jawatan Peguam Negara dan Pendakwa Raya dipegang oleh dua individu berbeza yang mempunyai kedudukan setara.

“Seterusnya adalah pindaan Perlembagaan perlu dibuat bagi memberi punca kuasa, ‘enabler provision’ untuk membolehkan pelaksanaan pemisahan dengan peranan dan kuasa AG dan Pendakwa Raya adalah sah di sisi undang-undang.

“Rang Undang-undang (RUU) Perlembagaan Persekutuan (Pindaan) ini akan dibentangkan tahun depan dan ia pindaan sangat penting kerana akan mewujudkan kerangka undang-undang secara rasmi memisahkan fungsi AG, Pendakwa Raya serta peruntukan peralihan,” katanya.

Dalam pada itu, kerajaan turut menyediakan pelan dasar pelaksanaan yang akan dilaksanakan secara berperingkat mengikut garis masa yang ditetapkan. Ini termasuk pembentangan dua RUU tambahan selepas pindaan Perlembagaan dikuatkuasakan.

“Ini membabitkan pembentangan dua RUU susulan selepas pindaan Perlembagaan dikuatkuasakan kelak, antaranya RUU Saraan bagi menetapkan struktur gaji dan elaun untuk jawatan Pendakwa Raya.

“Selain itu, RUU Pembaharuan Undang-undang Pendakwa Raya yang akan meminda pelbagai undang-undang lain, berkait rapat dengan fungsi pendakwaan,” katanya.

Related Posts

Tetapan 13+ diperluas, Meta tingkat keselamatan akaun remaja

KUALA LUMPUR – Meta Platforms memperkenalkan penambahbaikan ciri keselamatan Akaun Remaja di Instagram di Malaysia menerusi pelaksanaan tetapan kandungan 13+ serta kawalan ibu bapa yang lebih komprehensif bagi pengguna berusia…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Isu tenaga, geopolitik jadi fokus pertemuan Anwar–Albanese

PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, hari ini mengadakan pertemuan empat mata bersama rakan sejawatnya dari Australia, Anthony Albanese, dengan fokus memperkukuh hubungan dua hala serta menangani cabaran…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Dakwaan Pulau Sebatik diserah kepada Indonesia tidak benar – Hajiji

Dakwaan Pulau Sebatik diserah kepada Indonesia tidak benar – Hajiji

Lelongan antik palsu, pengarah syarikat rugi RM222,000

Lelongan antik palsu, pengarah syarikat rugi RM222,000

Kos bahan api tinggi, subsidi untuk pusat kebajikan wajar dipertimbang

Kos bahan api tinggi, subsidi untuk pusat kebajikan wajar dipertimbang

Bersatu akan kuburkan PN menerusi ‘trojan horse’

Bersatu akan kuburkan PN menerusi ‘trojan horse’

Tetapan 13+ diperluas, Meta tingkat keselamatan akaun remaja

Tetapan 13+ diperluas, Meta tingkat keselamatan akaun remaja

Isu tenaga, geopolitik jadi fokus pertemuan Anwar–Albanese

Isu tenaga, geopolitik jadi fokus pertemuan Anwar–Albanese