
KENINGAU – Seorang lelaki dipercayai kakitangan Sabah Electricity Sdn. Bhd. (SESB) dikhuatiri lemas selepas dihanyutkan arus deras ketika cuba menyeberangi jambatan yang dinaiki air di Kampung (Kg) Nuntunan, Apin-Apin.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Keningau, Norhasrita Abdul Manan berkata, kejadian berlaku sekitar pukul 9.57 malam melibatkan tiga pekerja SESB yang dipercayai dalam perjalanan menyeberangi jambatan tersebut.
“Dua daripada mereka berjaya menyelamatkan diri, namun seorang lagi hilang selepas dibawa arus deras,” katanya dalam kenyataan, di sini, pada Rabu.
Pasukan bomba menerima panggilan kecemasan melalui talian balai sebelum menggerakkan sembilan anggota bersama dua jentera ke lokasi sejauh 26 kilometer.
Pasukan tiba di lokasi pada pukul 10.24 malam dan segera melancarkan operasi mencari dan menyelamat (SAR).
“Maklumat awal mendapati mangsa terakhir dilihat memakai vest Sabah Electricity dan dianggarkan berusia lingkungan 30-an,” tambahnya.
Sementara itu, operasi SAR masih diteruskan di sepanjang persisiran sungai berhampiran lokasi kejadian dengan bantuan beberapa agensi lain.
Manakala, identiti mangsa masih belum dikenal pasti setakat ini.







