PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini menggeledah enam lagi premis berhubung siasatan skandal rasuah perlombongan pasir dikaitkan Menteri Besar Selangor Pemerbadanan (MBI).
Bagaimanapun, tidak didedahkan hasil penemuan penggeledahan di enam premis yang membabitkan sebuah kediaman dan lima unit pejabat di sekitar Lembah Klang.
“Hari ini, enam premis lagi digeledah, tetapi ia bukan ‘safe house’… sebaliknya, sebuah unit kediaman dan lima unit pejabat di sekitar Lembah Klang.
“Semua premis yang digeledah tidak disita,” menurut sumber kepada Berita Harian.
Dalam pada itu, sumber memaklumkan ahli perniagaan yang ditahan semula berhubung dakwaan skandal rasuah sama direman lima hari sehingga Ahad ini.
Terdahulu, ahli perniagaan itu dilapor ditahan semula SPRM selepas tempoh tahanan reman sejak Khamis lalu tamat hari ini.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, mengesahkan penahanan itu namun tidak mengulas lanjut.
Suspek itu ditahan selepas disyaki menerima rasuah daripada syarikat lain selepas berjaya mendapatkan kontrak berkaitan dengan MBI.
Ahli perniagaan itu antara empat individu yang ditahan SPRM sepanjang minggu lalu berhubung siasatan skandal rasuah bernilai jutaan ringgit berkaitan konsesi perlombongan pasir di bawah anak syarikat badan pelaburan negeri berkenaan.
Tiga lagi membabitkan seorang bekas pekerja MBI berusia 45 tahun, selain seorang pemandu berusia 43 tahun dan seorang wanita yang juga bekas pegawai kewangan berusia 46 tahun yang didakwa terbabit dalam kes berkaitan konsesi perlombongan pasir itu.





