KUALA LUMPUR – Taktik sindiket penyeludupan menjual diesel kepada pihak luar selain merasuah penguat kuasa terbongkar susulan serbuan dijalankan di depoh penyimpanan minyak dekat Sungai Bidut di Sibu, Sarawak, hari ini.
Operasi dijalankan Bahagian Operasi Khas (BOK) dan Skuad Taktikal Khas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, operasi itu turut berjaya memberkas lima individu dipercayai terlibat dalam kegiatan berkenaan.
Beliau berkata, pihaknya turut menyita wang tunai berjumlah kira-kira RM3.7 juta, dua tongkang serta 30 tangki membabitkan kira-kira 1.6 juta liter diesel.
“Selain itu, tangkapan turut membabitkan tiga lelaki dan dua wanita berumur lingkungan 30 hingga 60-lan di Pejabat SPRM Cawangan Sibu ketika keterangan mereka diambil keterangan sekitar jam 4 petang.
“Mereka yang ditahan ini antaranya pengusaha stesen minyak dipercayai menjadi dalang kegiatan penyeludupan serta individu berperanan sebagai orang tengah dipercayai terbabit urusan jual beli dengan pembeli luar,” katanya menerusi satu kenyataan.
Katanya, risikan dijalankan mendapati sindiket itu bergiat aktif sejak 2012 selain mengaut keuntungan RM400 juta dengan menjual minyak diesel bersubsidi untuk kegunaan nelayan kepada pihak luar pada kadar harga tertentu.
Azam berkata, serbuan turut mengesan dua tongkang yang sedang berlabuh dan sudah diisi dengan kira-kira 160,000 dan 100,000 liter diesel.
“Pemeriksaan mendapati terdapat 30 tangki minyak dipercayai tidak mempunyai permit untuk menyimpan diesel terbabit.
“Kesemua sitaan diesel ini diserahkan kepada KPDN bagi tujuan penjualan semula kepada pelesen yang sah,” katanya.
Menurutnya, kesemua suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Sibu bagi proses permohonan reman.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 16(b)(B) dan Seksyen 18 Akta SPRM 2009, selain Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya.




