
KOTA KINABALU – Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berharap rakyat Sabah, termasuk masyarakat Cina, terus menyokong kerajaan negeri sedia ada bagi memastikan agenda pembangunan dapat diteruskan dengan lebih berkesan.
Katanya, kerajaan negeri kini memberi tumpuan memacu pertumbuhan ekonomi, meningkatkan pendidikan, membangunkan modal insan serta menjaga kesejahteraan rakyat, selain berusaha menyelesaikan isu asas seperti bekalan air dan elektrik melalui inisiatif jangka pendek dan panjang.
“Kerajaan negeri amat menghargai sumbangan serta dedikasi masyarakat Cina dalam pembangunan Sabah.
“Oleh itu, marilah kita terus memelihara perpaduan ini dan menjadikan kepelbagaian sebagai kekuatan yang menyatukan kita semua,” katanya dalam sambutan Pesta Tanglung 2025 di Dewan Putra, Bukit Padang, pada Jumaat.
Teks ucapan beliau disampaikan oleh Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Seri Christina Liew.
Hajiji turut menekankan bahawa Sabah kekal sebagai contoh terbaik keharmonian berbilang kaum di Malaysia dengan lebih 30 kumpulan etnik hidup dalam suasana saling menghormati.
“Keharmonian ini bukan berlaku secara kebetulan tetapi hasil semangat kebersamaan, toleransi dan rasa hormat setiap rakyat Sabah.
“Inilah keunikan dan kekuatan Sabah,” katanya lagi.
Ketua Menteri berkata kerajaan negeri telah melaksanakan pelbagai program untuk meningkatkan ekonomi rakyat dan negeri.
“Selain itu, bidang lain seperti pendidikan, pembangunan modal insan dan kesejahteraan rakyat turut menjadi keutamaan utama kerajaan negeri.
“Kita sedar terdapat cabaran yang perlu ditangani, termasuk isu yang diwarisi daripada pentadbiran terdahulu seperti bekalan air dan elektrik.
“Namun, kerajaan sedia ada akan terus berusaha sedaya upaya untuk menyelesaikan isu-isu ini melalui inisiatif jangka pendek dan jangka panjang.
“Apa yang paling penting ialah sokongan rakyat agar Sabah terus makmur dalam Malaysia,” katanya.




