
TAWAU – Kerajaan Sabah merancang membangunkan sebuah Sekolah Menengah Agama Negeri (SMAN) berkonsepkan kecerdasan buatan (AI) di kawasan sebelah Sekolah Agama Negeri (SAN) Apas Balung.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Mohd Noor berkata, sekolah berkenaan akan dibangunkan di tanah seluas 20 ekar, selaras untuk memperkasa pendidikan Islam yang seimbang antara kekuatan rohani, ilmu dan kemajuan teknologi.
“Saya berharap agar Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) serta Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) menyelaraskan perkara tersebut.
“Kerajaan negeri akan terus komited menyokong usaha-usaha pemerkasaan pendidikan Islam dan pembangunan institusi agama melalui kerjasama pelbagai pihak,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan Majlis Ihya Ramadan, Malam Mencari Kekasih di Dewan Masyarakat Tawau, pada Ahad.
Jelas Hajiji, Kerajaan negeri memberi perhatian serius terhadap pembangunan SAN sebagai sebahagian daripada usaha melahirkan generasi berilmu, berakhlak dan berdaya saing.
Katanya, usaha berkenaan selari dengan hala tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) yang meletakkan pembangunan modal insan sebagai teras utama kemajuan negeri.
“Pendekatan AI membuktikan pendidikan agama tidak ketinggalan dalam arus kemajuan teknologi, malah mampu bergerak seiring dengan inovasi semasa tanpa mengorbankan nilai adab, akhlak dan jati diri Islam.
“Di sinilah anak-anak kita bukan sahaja diasuh dengan ilmu agama dan Al-Quran, tetapi turut dipersiapkan dengan kemahiran teknologi serta pemikiran kritis untuk menghadapi cabaran masa depan,” ujarnya.
Majlis Ihya Ramadan itu dihadiri kira-kira 2,000 umat Islam dengan pelbagai pengisian tazkirah dan persembahan nasyid dari kumpulan Rabbani.







