KUANTAN – Skim Pelombong Kecil diwujudkan bagi memastikan aktiviti perlombongan dapat dilaksanakan secara sah selain mewujudkan konsep menang-menang antara kerajaan Pahang dan pengusaha kecil.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, ia juga dapat mengelakkan ketirisan hasil kerajaan melalui aktiviti itu.
“Sebelum kita tubuhkan Pahang Gold atau pun Skim Pelombong Kecil ini, terutama di Kechau (kawasan Padang Tengku)… keadaannya macam ‘free for all’.
“Tindakan individu walaupun tanah itu tanah mereka, tetapi mineral dalam tanah masih hak kerajaan negeri.
“Daripada itu saya bersama dengan rakan-rakan exco berbincang macam mana untuk menghalalkan perkara ini dan mengawal supaya emas terdapat di bawah tanah ini tidak dijual sesuka hati,” katanya.
Tambahnya, kerajaan Pahang berjaya mengutip hasil royalti keluaran emas sebanyak RM10,190,959 setakat November lalu, berbanding RM5,498,567 tahun sebelumnya.
Wan Rosdy berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semambu, Chan Chun Kuang dan soalan tambahan ADUN Cheka, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man ketika sidang Dewan Undangan Negeri, hari ini.







