
KANOWIT — Usaha memperkasa kebajikan rakyat terus diperkukuh menerusi pelaksanaan Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS) 2026 bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ngemah sebagai inisiatif membantu golongan memerlukan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ngemah, Anyi Jana yang menegaskan komitmen berterusan kerajaan dalam membantu golongan memerlukan khususnya dalam mendepani cabaran kos sara hidup semasa.
“Program SKAS ini bukan sekadar penyampaian bantuan, tetapi merupakan simbol keprihatinan dan tanggungjawab bersama dalam memastikan tiada golongan yang tercicir daripada arus pembangunan,” ujarnya ketika Majlis Pelancaran Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS) 2026 Peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Ngemah di Dewan Pejabat Daerah Kanowit pada Selasa.

Beliau berkata pelaksanaan SKAS turut selari dengan konsep Malaysia MADANI yang menekankan nilai faham, hormat, terima dan meraikan dalam kehidupan bermasyarakatsekali gus membentuk komuniti yang inklusif dan saling membantu.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan bahawa Daerah Kanowit merekodkan seramai 1,292 Ketua Isi Rumah (KIR) masih berada dalam kategori miskin, justeru itu pendidikan perlu diberi penekanan sebagai kunci utama untuk memutuskan kitaran kemiskinan.
Sehubungan itu, beliau menyeru semua pihak, termasuk pemimpin masyarakat, agensi kerajaan dan rakyat untuk berganding bahu dalam meningkatkan kesejahteraan komuniti. Sumbangan diserahkan kepada para penerima sebagai simbolik pelaksanaan SKAS 2026.






