Oleh: N.Noor
GEORGE TOWN – Ahli Parlimen Kepala Batas, Dr Siti Mastura Muhammad kalah dalam kes saman fitnah yang difailkan pemimpin DAP, Tan Sri Lim Kit Siang, Lim Guan Eng, dan Teresa Kok yang mengaitkan ketiga-tiga pemimpin DAP tersebut dengan mendiang pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM), Chin Peng.
Mahkamah Tinggi Pulau Pinang memutuskan kenyataan Siti Mastura yang mengaitkan veteran serta pemimpin DAP itu mempunyai pertalian dengan komunis sebagai fitnah dan tidak disokong bukti.
Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Quay Chew Soon dalam prosiding secara maya melalui aplikasi Zoom, mendapati defendan bertindak dengan niat jahat dan pembelaan terhadap beliau berdasarkan alasan komen adil dan keistimewaan bersyarat tidak dapat diterima.
“Saya berpuas hati bahawa kata-kata yang dipertikaikan secara biasa dan semula jadi itu cenderung mendedahkan plaintif kepada kebencian awam dan merendahkan mereka dalam anggapan anggota masyarakat yang berfikiran rasional secara amnya.
“Perlu diperhatikan bahawa plaintif dikaitkan dengan aktiviti jahat dalam bersekongkol dengan elemen komunis dengan itu mendedahkan mereka kepada kebencian dan menghasut pendapat awam yang buruk.
“Ia melampaui kritikan politik biasa dan telah melintasi sempadan apabila kata-kata yang dipertikaikan menyerang watak dan nilai plaintif,” katanya dalam keputusan penghakiman, pada Rabu.
Mahkamah turut mengarahkan Siti Mastura membayar ganti rugi sebanyak RM300,000 kepada Kit Siang, Guan Eng (RM250,000) dan RM200,000 kepada Teresa Kok, selain menetapkan RM25,000 dibayar kepada setiap plaintif sebagai kos.
Chew Soon berkata, kata-kata yang dipertikaikan hanya bermaksud bahawa Lim Kit Siang adalah sepupu kepada Chin Peng; kedua beliau adalah sepupu kepada Lee Kuan Yew; ketiga, Lim Kit Siang dan Lim Guan Eng adalah mempunyai hubungan anak dan bapa manakala Teresa Kok adalah sepupu kepada isteri Lim Guan Eng.
Beliau berkata, defendan membuat kenyataan provokatif, mengaitkan plaintif dengan parti politik yang dilarang dan membuat sindiran yang tidak menyenangkan tentang kaitan plaintif dengan komunisme.
Tambahnya pergantungan terhadap buku yang disebut sebagai ‘Comms Barisan Nasional’ adalah tidak boleh diterima kerana ia kekal sebagai penerbitan yang tidak dapat disahkan kewujudannya.
Beliau berkata, pihak pembelaan juga gagal memanggil individu yang dikatakan sebagai pembuat buku terbabit untuk memberi keterangan, menyebabkan buku itu hanya dianggap sebagai dokumen ‘hearsay’ (khabar angin) dalam perbicaraan.
“Buku kempen itu tidak mempunyai kredibiliti dan tidak boleh dianggap sahih. Asalnya kekal misteri. Seorang pegawai tinggi dari UMNO tidak mengetahui tentang buku kempen tersebut dan penerbitannya tidak dapat disahkan.
“Buku kempen itu tidak mempunyai ketepatan, tiada tahun penerbitan, penulis, penerbit, atau nombor ISBN/ISSN, dan tidak boleh dianggap boleh dipercayai.
“Walaupun memegang ijazah doktor falsafah (PhD) dan mempunyai pengetahuan tentang amalan yang baik seperti yang digariskan dalam metodologi penyelidikan, defendan memilih untuk menyebarkan maklumat yang tidak berasas semata-mata berdasarkan buku kempen BN,” katanya.
Chew Soon berkata, Siti Mastura yang berada dalam Dewan Rakyat yang sama dengan Guan Eng dan Teresa seharusnya boleh mendapatkan penjelasan terus daripada mereka sebelum membuat kenyataan sedemikian.
“Dengan mengelak daripada membuat pertanyaan untuk memastikan kebenaran, defendan gagal menyemak fakta dengan secukupnya mengenai kenyataannya. Walaupun kepentingan awam dalam perdebatan politik diiktiraf, ia tidak memberikan kebebasan mutlak untuk membuat kenyataan yang mengelirukan yang merosakkan reputasi orang lain,” katanya.
Berhubung jumlah ganti rugi, beliau memutuskan untuk memberi ganti rugi tertinggi kepada Kit Siang sebanyak RM300,000, kerana beliau adalah ahli politik paling senior dalam kes tersebut selain merupakan figura terkenal dan dianugerahkan gelaran Tan Sri oleh Yang di-Pertuan Agong.
Prosiding itu turut dihadiri Datuk Sankara Narayanan Nair mewakili plaintif manakala peguam bela Yusfarizal Yusoff mewakli Siti Mastura.







