
TAWAU – Penugasan berterusan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Tawau menunjukkan perkembangan positif dalam pencegahan dan penurunan jenayah sekali gus mencerminkan keberkesanan antara polis, pihak lain dan media.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, trend jenayah semasa di daerah ini menurun sama ada daripada jumlah laporan atau kes-kes yang dibuka pihak polis.
“Saya melihat bahawa kerjasama media PDRM bersama media arus perdana ini dapat memberikan impak yang positif kerana pihak media dapat menyalurkan berita-berita yang tepat serta sahih dari pihak berautoriti seperti PDRM.
“Ini secara tidak langsung akan memberikan pengetahuan kepada masyarakat tentang kejadian-kejadian semasa yang berlaku selain masyarakat juga dapat mengambil tindakan yang sewajarnya,” kongsinya kepada media selepas Perbarisan sempena Peringatan Hari Polis Ke-219 Peringkat IPD Tawau, di sini, pada Rabu.

Menurut Jasmin, media berperanan sebagai jambatan penting antara pihak PDRM dan masyarakat.
“Tanpa media, penyampaian berita serta maklumat daripada PDRM kepada orang ramai menjadi agak sukar jika hanya bergantung kepada saluran dalaman PDRM, ia mungkin tidak mencukupi.
“Alhamdulillah, kerjasama yang terjalin ketika ini dilihat sangat baik, khususnya bersama PDRM di peringkat daerah.
“Melalui kerjasama ini, pelbagai maklumat berkaitan tugas dan tanggungjawab polis dapat disampaikan kepada masyarakat selaras dengan penetapan pihak kepimpinan PDRM,” ujarnya.

Dalam pada itu, Jasmin turut mengingatkan agar semua pengguna media sosial tidak mudah menerima dan mempercayai sebarang maklumat tanpa membuat semakan dengan sumber yang sahih.
“Dalam konteks ini saya melihat masyarakat wajar mendapatkan maklumat dari media arus perdana kerana kita (polis dan media) mempunyai hubungan yang rapat dan hubungan rapat ini akan diteruskan dari semasa ke semasa,” katanya.





