
KUCHING – Seorang wanita warga emas kerugian RM415,464 selepas terpedaya dengan sindiket penipuan telefon yang menyamar sebagai pegawai polis.
Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Alexson Naga Chabu berkata, Bahagian Siasatan Jenayah Komersil (BSJK) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching menerima laporan daripada mangsa berusia 69 tahun itu berkaitan kejadian tersebut.
Menurutnya, kejadian bermula apabila mangsa dihubungi suspek melalui talian 017-6407715 pada 17 September 2025 yang mendakwa wanita itu terlibat dalam kes jenayah.
“Mangsa yang ketakutan dan terpedaya dengan dakwaan tersebut telah diarahkan untuk memindahkan wang bagi tujuan ‘pembersihan’ harta.
“Akibatnya, mangsa telah melakukan enam transaksi pemindahan wang ke dalam empat akaun bank berbeza melibatkan jumlah keseluruhan RM415,464,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Jelas Alexson, suspek berjanji wang tersebut akan dipulangkan semula kepada mangsa pada 5 Januari 2026.
Bagaimanapun, mangsa mula menyedari dirinya ditipu selepas wang berkenaan tidak dikembalikan pada tarikh yang dijanjikan sebelum tampil membuat laporan polis.
“Kes kini disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu, yang memperuntukkan hukuman penjara minimum satu tahun dan maksimum 10 tahun, sebat serta denda jika sabit kesalahan,” ujarnya.
Dalam pada itu, Alexson menasihatkan orang ramai agar tidak panik dan segera menamatkan panggilan sekiranya menerima panggilan yang mencurigakan.
Beliau turut mengingatkan masyarakat supaya tidak mendedahkan maklumat peribadi atau perbankan kepada individu tidak dikenali dan membuat semakan nombor telefon atau akaun bank di portal ‘Semak Mule’ PDRM.
Sebarang aktiviti mencurigakan boleh dilaporkan kepada Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) di talian 997 atau menghubungi JSJK Sarawak.






