MELAKA – Lima ah long termasuk dua beradik didakwa di Mahkamah Majistret di sini atas tuduhan bersubahat dan melakukan khianat dengan cara menyimbah cat terhadap harta milik keluarga peminjam wang.
Tertuduh, Muhammad Amir Suhaimi,18, Musmuliadi Suhaimi, 43, dan Putri Noviana, 23, bagaimanapun mengaku tidak bersalah manakala Ahmad Zamarulhisham Suhaimi, 23, mengaku bersalah sebaik pertuduhan dibacakan terhadap mereka di hadapan Majistret Nabilah Nizam.
Berdasarkan lima pertuduhan, Muhammad Amir dan Ahmad Zamarulhisham yang juga adik beradik telah mencapai niat bersama melakukan khianat dengan cara menyimbah cat berwarna biru dan hijau terhadap pelbagai harta benda milik keluarga peminjam sehingga mengakibatkan kerugian berjumlah RM2,000.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di beberapa lokasi termasuk di Taman Limbongan Permai, Taman Bukit Rambai, Kampung Telok Bukit Katil, Taman Pantai Emas dan Taman Bukit Tasik Utama di sini, pada 11 dan 14 Julai lalu kira-kira 12.30 tengah hari.
Pendakwaan dijalankan mengikut Seksyen 427 dibaca bersama Seksyen 34 kanun keseksaan memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang satu tahun dan maksimum lima tahun atau denda jika disabitkan kesalahan.
Sementara itu, Musmuliadi dan Putri Noviana didakwa atas lima pertuduhan di bawah Seksyen 427 dibaca bersama Seksyen 109 kanun keseksaan kerana bersubahat melakukan khianat bersama kedua beradik tersebut.
Timbalan Pendakwa Raya Fikri Hakim Zamri mencadangkan jaminan berjumlah RM10,000 bagi setiap pertuduhan kepada setiap tertuduh.
Putri Noviana yang diwakili Peguam Nigel Tai bagaimanapun tidak dibenarkan jaminan kerana tertuduh merupakan warganegara Indonesia yang bekerja sebagai pelayan restoran serta pasportnya disimpan oleh majikan.
Mahkamah membenarkan jaminan RM3,000 dan RM4,000 bagi setiap pertuduhan kepada setiap tertuduh kecuali Putri Noviana.
Mahkamah kemudiannya menetapkan 23 September depan untuk semakan fakta hukuman Ahmad Zamarulhisham serta serahan dokumen bagi tertuduh yang lain.







