PUTRAJAYA – Sidang Meja Bulat membabitkan Ahli Parlimen Muda Perhimpunan Antara Parlimen (YPA) diadakan buat julung kali, semalam.
Sesi itu bersempena Perhimpunan Agung Antara Parlimen ASEAN (AIPA) yang sedang berlangsung di ibu negara.
Pengerusi AIPA, Datuk Mohd Shahar Abdullah berkata, sidang meja bulat itu penting untuk membincangkan pelbagai isu kritikal membabitkan golongan belia di ASEAN.
“Antara isu menjadi tumpuan adalah kadar pengangguran yang tinggi, akses terhad kepada pekerjaan dengan gaji bermaruah, serta cabaran kesihatan fizikal dan mental yang semakin membimbangkan,” katanya menerusi satu perkongsian di Facebook.
![]()
Mohd Shahar yang juga Ahli Parlimen Paya Besar berkata, sesi meja bulat yang berprestij itu menghimpunkan suara dan aspirasi anak muda ASEAN dalam satu platform terbuka.
Sesi itu, katanya, disertai wakil daripada organisasi antarabangsa terkemuka, termasuk Pertubuhan Kesihatan Sedunia, Pertubuhan Buruh Antarabangsa dan Bank Dunia.
“Hasil pertukaran pandangan melalui sidang ini akan digunakan bagi merangka dasar lebih kukuh dan berasaskan bukti, selari dengan usaha memastikan suara generasi muda didengar dan diangkat dalam pembangunan masa depan ASEAN,” tambahnya.
Beliau juga memaklumkan, program itu menandakan satu langkah penting ke arah pembabitan belia yang lebih inklusif dalam dasar serantau, khususnya dalam era pasca-pandemik dan cabaran ekonomi global yang kompleks.







