SIDANG Kemuncak ASEAN ke-46 telah membuka tirainya di ibu negara dengan menegaskan komitmen teguh untuk memajukan sebuah komuniti ASEAN yang lebih inklusif, mampan dan berorientasikan rakyat.
Sidang yang berlangsung selama beberapa hari ini dianggap sebagai detik permulaan yang penting bagi Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025, dengan tema ‘Keterangkuman dan Kemampanan’ menjadi asas utama dalam memperkukuh kerjasama serantau di tengah-tengah cabaran landskap geopolitik dan ekonomi semasa.
Setiausaha Akhbar Kanan Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah berkata, sidang kali ini merangkumi pelbagai sesi penting seperti sesi plenari, sesi pemukiman (retreat) bersama pemimpin ASEAN serta sesi libat urus bersama Perwakilan Parlimen ASEAN (AIPA), wakil belia dan Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN (ASEAN-BAC).
“Antara perkara utama yang dibincangkan termasuk isu serantau seperti pertikaian di Laut China Selatan, krisis kemanusiaan di Myanmar dan Gaza, cabaran ekonomi digital serta kerumitan rantaian bekalan serantau.
“Malaysia turut menunjukkan komitmen untuk memastikan ASEAN kekal relevan dan responsif menerusi pelancaran wawasan jangka panjang ASEAN 2045,” katanya dalam Taklimat Harian Pejabat Perdana Menteri (PMO) hari ini.
Beliau memaklumkan bahawa pencapaian utama sidang hari ini adalah pemeteraian Deklarasi Kuala Lumpur mengenai ASEAN 2045: Our Shared Future, yang menjadi dokumen strategik menggantikan ASEAN 2025.
Ia mengandungi lebih 500 langkah konkrit ke arah pembentukan komuniti serantau yang berpaksikan rakyat menjelang tahun 2045.
Beliau berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam ucapannya menekankan bahawa ASEAN perlu bertindak secara bersama berlandaskan prinsip bagi menjamin keamanan, tadbir urus yang baik dan manfaat yang menyeluruh kepada semua rakyat.
Malaysia juga menjadi tuan rumah kepada dua sidang penting lain, iaitu Sidang Kemuncak ASEAN-GCC ke-2 dan Sidang Kemuncak tiga hala ASEAN-GCC-China yang dijadual berlangsung pada 27 Mei.
“Kedua-dua sidang ini akan mengukuhkan hubungan strategik antara tiga blok ekonomi utama, ASEAN, Majlis Kerjasama Teluk (GCC) dan China, yang mempunyai gabungan nilai ekonomi hampir RM117 trilion (AS$25 trilion) dan populasi melebihi dua bilion orang,” jelas Tunku Nashrul.
Beliau berkata antara inisiatif yang akan dibincangkan termasuk pelaburan dalam pembangunan mampan, kerjasama dalam ekonomi digital serta pengukuhan keterhubungan budaya dan infrastruktur merentas sempadan.
Selain itu, beberapa pertemuan dua hala turut berlangsung dengan pemimpin dari Kemboja, Singapura, China dan Kuwait.
Salah satu hasil penting ialah termeterainya perjanjian Renewables and Interconnected Sustainable Energy (RISE) antara syarikat-syarikat dari Malaysia, Singapura dan Vietnam.
Sidang hari pertama diakhiri dengan Majlis Makan Malam Gala ASEAN, yang menjadi simbol penghargaan serta permulaan kepada kerjasama lebih kukuh sepanjang tempoh Kepengerusian Malaysia.
“Malaysia akan terus memainkan peranan aktif sebagai peneraju diplomasi serantau serta rakan strategik yang konstruktif kepada komuniti antarabangsa.
“Sidang kemuncak akan diteruskan esok dengan fokus kepada kerjasama tiga hala serta rundingan lanjut dalam bidang perdagangan dan pembangunan mampan,” tambahnya.




