
BERBAKI kurang sebulan kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota bermula, kini ramai pihak mula tertanya-tanya siapakah calon yang bakal dipilih mewakili jentera Barisan Nasional (BN) nanti?
Persoalan ini menjadi hangat berikutan aura penyandangnya iaitu mantan Ketua Wanita UMNO Kluang, Allahyarham Datuk Sharifah Azizah Syed Zain dianggap masih berbisa.
Justeru, pemilihan calon yang berpotensi menerajui kepimpinan Allahyarham nanti perlulah daripada seseorang yang mempunyai latar belakang hebat dan tepat dalam memastikan kerusi DUN Mahkota kekal menjadi milik BN.
Memetik laporan Berita Harian, terdapat lima nama besar yang berkemungkinan dicalonkan untuk berdepan PRK DUN Mahkota nanti.
Antara nama disebut adalah Naib Ketua Wanita UMNO Kluang, Zainani Jamaluddin yang kini diangkat sebagai pemangku Ketua Wanita UMNO Bahagian selepas kematian Allahyarham Sharifah Azizah.
Nama Zainani Jamaluddin tidak asing lantaran kekuatan Wanita UMNO Kluang terus diakui penduduk dan menjadi antara tonggak kepercayaan masyarakat khususnya DUN Mahkota.
Malah, sifat ketua beliau iaitu arwah Sharifah Azizah yang sangat mesra dengan penduduk hingga masyarakat menggelarnya sebagai ‘ummi’ pasti menjadikan nama pemangkunya, Zainani sebagai batu loncatan untuk diberikan mandat oleh rakyat menerajui DUN berkenaan.
Sementara itu, nama lain turut disebut-sebut adalah Ketua Pemuda UMNO Kluang, Syed Hussien Syed Abdullah. Sejauh mana kebenarannya, masih menjadi teka-teki.
Tetapi Syed Hussein dikatakan mempunyai reputasi amat baik berikutan sangat aktif dalam pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kebajikan dan persilatan menjadikannya dikenali di Kluang, selain generasi muda.
Atas faktor ini, UMNO/BN mungkin perlu menilai kriteria calon anak tempatan, muda, berstatus boleh menang (winnable), diterima (acceptable) dan disukai (likeable), maka Syed Hussein mungkin tidak boleh diketepikan.
Walaupun Zainani dan Syed Hussein dikatakan antara nama ‘popular’ yang kerap menjadi sebutan dan mendapat perhatian, namun aura oleh Ketua UMNO Bahagian Kluang, Datuk Md Jais Sarday, masih berbisa.
Nama ‘otai’ dalam UMNO Johor malah di barisan kabinet kerajaan negeri ini tidak boleh dinafikan.
Berpengalaman luas dalam DUN Mahkota, Md Jais pernah memenangi kerusi DUN itu selama dua penggal sejak 2008 hingga 2018 dan pernah dilantik sebagai Exco Johor dengan portfolio paling kanan.
Kekalahan Md Jais pada Pilihanraya Umum (PRU) 2018 pun adalah disebabkan tsunami politik yang melanda negara ketika ini.
Bagaimanapun, beliau masih dikira cemerlang dalam arena politik dan justeru, jika Md Jais dipilih sebagai calon pada PRK DUN Mahkota nanti, kemungkinan besar kepercayaan pengundi masih wujud untuk beliau.
Khabar angin paling mengejutkan setakat ini adalah spekulasi kemungkinan Shahrol Azizie Azmi atau lebih dikenali Shahrol Shiro turut memasuki senarai nama bakal dipilih sebagai calon BN bagi DUN Mahkota.
Nama bekas Ahli Majlis Perbandaran Kluang (MPK) itu mula menjadi sebutan kerana memiliki reputasi tersendiri, termasuk dikatakan aktif dalam kerja kemasyarakatan di Kluang, selain mempunyai hubungan rapat dengan pimpinan atasan UMNO Johor.
Namun, Shahrul Shiro tidak mempunyai jawatan di Bahagian Kluang apatah lagi tewas kepada Syed Hussein pada pertandingan Ketua UMNO Bahagian Kluang sebelum ini. Maka laluannya dilihat sukar.
Pada masa sama, terbit juga desas-desus menyatakan pimpinan Wanita UMNO ingin membawa Ketua Wanita UMNO Bahagian Segamat, Datuk Norshida Ibrahim yang juga bekas Ketua Penerangan Wanita UMNO supaya bertanding di situ.
Ia berikutan Wanita UMNO berpandangan bakat kepemimpinan Norshida perlu ditampilkan di peringkat negeri, apatah lagi menganggap beliau pemimpin Wanita berpotensi diangkat sebagai pemimpin pelapis.
Nama Norshida berputik atas faktor beliau sebelum ini sudah berkorban memberi laluan kerusi DUN Buloh Kasap yang disandangnya kepada Ketua UMNO Bahagian Segamat, Datuk Zahari Sarip yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Luar Bandar Johor.
Walaupun pelbagai spekulasi dan desas-desus penuh warna berkenaan bakal calon BN pada PRK DUN Mahkota berlegar ketika ini, sudah pasti pucuk pimpinan parti akan meneliti dari segenap aspek bagi memastikan strategi untuk mengekalkan kerusi berkenaan tidak tersasar.
Apa yang pasti, UMNO/BN perlu sedar cabaran sebenar PRK DUN Mahkota nanti bukan sahaja dalam soal pemilihan calon tepat, bahkan persaingan daripada pembangkang yang sudah membulatkan keputusan untuk bertanding di kerusi itu serta kemungkinan berlaku pertandingan tiga penjuru jika ada calon Bebas bertanding nanti.