
BEKAS Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin, dan ahli perniagaan, Albert Tei, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini bagi menghadapi pertuduhan berkaitan rasuah yang sedang disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Menurut semakan sistem mahkamah, kes membabitkan Shamsul Iskandar, 50 tahun, dan Tei, 37 tahun, dijadualkan disebut di hadapan Hakim Suzana Hussin pada jam 9 pagi.
Semalam, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, pada satu sidang media memaklumkan bahawa kedua-dua individu itu bakal berdepan lima pertuduhan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur serta satu lagi pertuduhan tambahan di Mahkamah Sesyen Shah Alam pada Jumaat.
Beliau berkata, pertuduhan berkenaan melibatkan Seksyen 17(a) Akta SPRM bagi kesalahan menerima suapan dan Seksyen 17(b) bagi kesalahan memberi suapan, manakala siasatan terhadap kedua-duanya dibuka di bawah Seksyen 16 Akta SPRM 2009.
Shamsul Iskandar dan Tei turut direman selama enam hari bermula 29 November lalu selepas Mahkamah Majistret Putrajaya membenarkan permohonan SPRM bagi melengkapkan siasatan.
Kes itu difahamkan berkaitan dakwaan bahawa Tei memberikan rasuah kepada Shamsul Iskandar bagi mendapatkan semula sejumlah dana yang dikatakan telah diagihkan kepada beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah.





