
KANGAR – Tindakan pantas polis dalam satu operasi di Jalan KTMB, Padang Besar pada Isnin lalu berjaya menggagalkan penyeludupan dadah jenis syabu seberat 98.73 kilogram bernilai RM4.9 juta yang dipercayai dibawa masuk dari negara jiran.
Ketua Polis Perlis, Datuk Muhamad Abdul Halim berkata, rampasan itu dianggarkan mampu merosakkan seramai 493,650 individu sekiranya berjaya diedarkan dalam pasaran.
Beliau berkata, suspek lelaki tempatan berusia 20 tahun itu ditahan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis bersama Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 1 Ulu Kinta, Perak hasil maklumat berkaitan aktiviti penyeludupan dadah.
“Pemeriksaan ke atas sebuah kereta jenis Proton Saga berwarna biru dipandu suspek menemukan empat guni putih mengandungi dadah disyaki jenis syabu dengan berat keseluruhan 98.73 kilogram.
“Dadah tersebut dianggarkan bernilai RM4,936,600 dan dipercayai menggunakan laluan tikus di sempadan Padang Besar Malaysia-Thailand sebelum dihantar ke selatan tanah air,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perlis hari ini.
Menurut beliau, semasa operasi dijalankan sekitar pukul 9 malam, suspek bertindak agresif dengan memandu secara melulu sehingga membahayakan pasukan serbuan.
“Tindakan suspek menyebabkan satu das tembakan dilepaskan ke arah tayar kereta bagi tujuan melindungi nyawa pasukan serbuan.
“Suspek mengalami kecederaan di bahagian muka, tangan dan kaki akibat tindakannya merempuh kenderaan milik pasukan serbuan,” ujarnya.
Tambah beliau, hasil ujian saringan awal air kencing mendapati suspek positif ketamin selain mempunyai rekod lampau berkaitan kes dadah dan ketum.
Difahamkan, suspek dipercayai menerima upah sehingga puluhan ribu ringgit bergantung kepada kuantiti dan nilai semasa dadah yang dibawa masuk
Muhammad berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan suspek direman sehingga 16 Februari ini bagi membantu siasatan.
Dalam operasi sama, JSJN turut menyita sebuah motosikal jenis Yamaha Y15ZR bernilai RM7,000 di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988.






