
KOTA KINABALU – Sabah Electricity (SE) menyampaikan sumbangan Wakalah Zakat RM60,000 kepada 250 penerima dalam Majlis Seikhlas Budi, Sesuci Ramadan di salah sebuah hotel di sini pada Isnin.
Menurut Sabah Electricity, penerima sumbangan tersebut terdiri daripada 100 pelajar daripada Kolej Teknologi Yayasan Sabah (KTYS) dan University College Sabah Foundation (UCSF), 150 penerima daripada golongan asnaf yang layak antaranya Maahad Tahfiz Miftahul Ulum dan Masjid Sembulan.
Tambahnya, inisiatif berkenaan mencerminkan komitmen berterusan syarikat berkenaan dalam membantu golongan memerlukan serta menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat.

Penyerahan sumbangan tersebut disempurnakan oleh Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Dr Musa Aman dan isteri, Toh Puan Faridah Tussin, diiringi Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor dan isteri, Datuk Juliah Salag serta Ketua Pegawai Eksekutif Sabah Electricity, Datuk Ir. Ts. Mohd Yaakob Jaafar dan isteri, Datin Asgini Mohd Jelfree serta Pengarah Sabah Electricity, Saadiah Aziz.
Majlis turut diserikan dengan tazkirah Ramadan yang disampaikan Mufti Negeri Sabah, Datuk Bungsu @ Aziz Jaafar, yang menyentuh tentang kesyukuran dan ukhuwah bulan Ramadan dalam membina masyarakat sejahtera.
Sejurus berbuka puasa, Tun Musa bersama para jemputan menunaikan solat Maghrib, Isyak dan solat sunat Tarawih secara berjemaah, sebelum majlis diteruskan dengan jamuan serta persembahan nasyid dari kumpulan Al-Mawaddah, dari Ma’had Tahfiz Miftahul Ulum yang menyemarakkan lagi suasana Ramadan.
Majlis diakhiri dengan jamuan moreh serta keberangkatan pulang Tun Musa dan isteri.
Turut hadir, Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah, Datuk Seri Kadzim M. Yahya dan isteri, Datin Seri Noraini Salleh; Setiausaha Persekutuan Sabah, Datuk Mohd Razali Wahab dan isteri, Datin Dr. Khairiah Abdullah serta Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Seri Safar Untong dan isteri, Datuk Dr Nuinda Alias.





