
KOTA KINABALU – Parlimen Sepanggar dipilih sebagai lokasi penganjuran program MADANI Rakyat tahun ini yang bakal dihadiri oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sekali gus membuka ruang kepada pelaksanaan program satelit Kenduri Rakyat bagi menyantuni masyarakat setempat.
Ahli Parlimen Sepanggar, Datuk Mustapha Sakmud berkata, program Kenduri Rakyat itu akan diadakan di beberapa kampung sekitar Sepanggar sebagai platform untuk mengeratkan hubungan antara kerajaan dan rakyat selain menyampaikan maklumat terkini berkaitan pelbagai inisiatif kerajaan.
“Perkara ini dibincangkan dalam kunjungan oleh Jabatan Penerangan Malaysia negeri Sabah bagi menyelaras pelaksanaan program berkenaan.
“Program Kenduri Rakyat ini merupakan program satelit kepada program MADANI Rakyat yang akan dihadiri oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri.
“Alhamdulillah dan terima kasih kepada Perdana Menteri kerana memilih Parlimen Sepanggar sebagai lokasi program MADANI Rakyat pada tahun ini,” katanya ketika ditemui oleh wartawan The Malaysia Press, di sini pada Sabtu.

Mustapha yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak) berkata, melalui program tersebut pelbagai aktiviti bersama penduduk kampung akan dilaksanakan selain memberi peluang kepada agensi kerajaan untuk mendekati masyarakat secara langsung.
“Beberapa agensi utama dijangka terlibat termasuk Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) bagi memperkenalkan skim simpanan pendidikan SSPN, serta Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Lembaga Tabung Haji.
“Selain itu, Institut Pengajian Tinggi Awam dan Swasta serta Politeknik juga berkemungkinan akan turut serta bagi mempromosikan program pengajian dan kursus, khususnya dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
“Program ini bukan sahaja memberi peluang kepada rakyat untuk mendapatkan maklumat secara terus daripada agensi kerajaan, tetapi juga membantu mempromosikan program MADANI Rakyat yang bakal diadakan,” jelasnya.
Tambahnya, penganjuran Kenduri Rakyat dijangka berlangsung kira-kira seminggu sebelum program MADANI Rakyat diadakan, namun tarikh rasmi masih belum dimuktamadkan.
“Lebih 1,000 orang dijangka menghadiri program tersebut yang diharapkan dapat memberi manfaat kepada masyarakat sekitar Sepanggar serta mengukuhkan hubungan antara kerajaan dan rakyat,” katanya.



