
KANGAR – Semua enam pusat pemindahan sementara (PPS) yang dibuka akibat banjir susulan hujan lebat di negeri Perlis telah ditutup sepenuhnya hari ini.
Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Perlis, Ku Chik Ku Mat Esa berkata, PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Sena yang ditutup pada pukul 2 petang tadi adalah PPS terakhir yang dihentikan operasinya.
“Penutupan PPS dibuat secara berperingkat bermula dengan PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Guar Nangka yang ditutup pada 10 Oktober 2024, diikuti SK Bintong dan SK Arau.
“PPS SK Kubang Gajah pula ditutup pada 11 Oktober, manakala PPS di Kolej Vokasional (KV) Kangar ditamatkan pada hari yang sama,” katanya.
PPS terakhir di SK Sena ditutup selepas semua mangsa yang terlibat telah kembali ke kediaman masing-masing.
Banjir kali ini menjejaskan beberapa kawasan di negeri itu termasuk Kampung Tok Kandang, Kampung Kubang Gajah, Kampung Gial dan Kampung Belanga Pudak.
“JKM sentiasa bersedia untuk memberikan bantuan sewajarnya kepada semua mangsa banjir bagi memastikan keselamatan dan kebajikan mereka terjaga,” katanya.






