BAGAN SERAI – Semua Ahli Jawatankuasa (AJK) Bersatu Bahagian Bagan Serai mengumumkan peletakan jawatan dan keluar parti berkuat kuasa serta merta, pada Rabu.
Ketua Bahagian, Ismail Ali berkata, keputusan tersebut dibuat selepas mesyuarat khas bahagian diadakan setelah pihaknya hilang kepercayaan terhadap Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
“Setelah mengadakan mesyuarat khas bahagian pada hari ini, (semalam) kami sebulat suara bersetuju meletakkan jawatan dan mengisytiharkan keluar parti berkuat kuasa serta-merta.
“Tindakan ini dilakukan atas faktor kami telah hilang kepercayaan kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Presiden,” katanya dalam satu kenyataan bersama barisan kepimpinan bahagian tersebut .
Turut hadir, Naib Ketua Bahagian Muhamad Hisham Mansor dan barisan kepimpinan utama dan 10 AJK yang dipilih serta empat AJK yang dilantik.
Pengumuman pembubaran oleh kepimpinan bahagian Bersatu disifatkan lebih bersifat gimik politik yang dilakukan oleh pihak-pihak tertentu dalam mewujudkan persepsi negatif terhadap parti.
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Datuk Jasri Jamaludin berkata, di bawah perlembagaan Bersatu, kuasa membubarkan sesuatu bahagian bukan terletak pada jawatan kuasa bahagian secara sebelah pihak.
Sebaliknya, ujar beliau yang juga Timbalan Ketua Badan Pimpinan Negeri (BPN) Bersatu Pahang, kuasa itu terletak secara jelas di tangan kepimpinan pusat.






