KEMAMAN – Perjuangan rakyat Palestin mempertahankan tanah air daripada penjajahan Zionis wajar dijadikan inspirasi untuk menyemai semangat cintakan negara dalam kalangan pelajar dan masyarakat.
Pengetua Sekolah Menengah Islam (SMI) Al-Amin Kemaman, Azman Dosan berkata, perjuangan itu membuktikan bahawa kecintaan terhadap tanah air atau hubbul watan merupakan sebahagian daripada pendidikan Islam yang syumul.
“Warga Palestin menunjukkan contoh jelas bagaimana mempertahankan tanah air adalah manifestasi cinta negara. Nilai ini perlu ditanam melalui pendidikan bagi melahirkan generasi yang memiliki jiwa patriotik dan teguh mempertahankan kedaulatan,” katanya ketika ditemui di Majlis Perasmian Bulan Kebangsaan 2025 peringkat sekolah itu.

Sementara itu, Penolong Pengarah Jabatan Penerangan Terengganu, Saharudin Mohamed ketika menyampaikan ucapan perasmian berkata, kemerdekaan tidak hanya bermaksud bebas daripada penjajahan, tetapi juga merdeka daripada belenggu jiwa.
“Kes-kes buli yang semakin meningkat berpunca daripada jiwa yang belum merdeka. Apabila kita gagal merdeka secara rohani, rasa saling memahami sesama kita semakin terhakis,” ujarnya.

Majlis perasmian itu turut dihadiri Pegawai JKOM Daerah Kemaman, Ahmad Nadhir Yob; warga sekolah serta komuniti setempat. Program berkenaan sekali gus menegaskan bahawa sekolah Islam swasta juga menjadi sebahagian daripada peneraju dalam membina agenda Malaysia MADANI di peringkat akar umbi.






