Semakan kadar, peluasan skop SST tingkatkan bantuan tunai kepada rakyat

KERAJAAN akan melaksanakan semakan kadar dan peluasan skop Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) mulai 1 Julai 2025 sebagai sebahagian daripada langkah menambah baik dasar fiskal negara yang diumumkan dalam Belanjawan 2025.

Pelaksanaan ini bertujuan memperkukuh hasil negara dan meluaskan asas percukaian, sekali gus membolehkan peningkatan mutu perkhidmatan awam serta pengukuhan jaringan keselamatan sosial tanpa menambah beban kepada rakyat kebanyakan.

Menurut kenyataan Kementerian Kewangan, barangan pilihan seperti ketam raja, ikan salmon, ikan kod, cendawan trufel, buah-buahan import, minyak pati, kain sutera, serta jentera industri akan dikenakan cukai jualan sebanyak lima peratus.

Manakala, barangan mewah seperti basikal lumba dan lukisan tangan antik akan dikenakan cukai jualan pada kadar 10 peratus.

Sebaliknya, barangan keperluan asas seperti ayam, ikan, sayur-sayuran, buah-buahan tempatan, beras, tepung, gula, garam, susu, minyak masak, ubat-ubatan, peranti perubatan, buku, jurnal, makanan haiwan dan bahan asas pembinaan seperti simen dan pasir kekal pada kadar sifar peratus.

Input penting dalam sektor pertanian seperti baja, racun perosak dan jentera pertanian juga tidak dikenakan cukai.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan menjelaskan bahawa kerajaan komited dalam melaksanakan pembaharuan fiskal secara bersasar di bawah kerangka Ekonomi MADANI.

Beliau berkata, pendekatan ini dirancang bagi memastikan sebarang peningkatan hasil tidak memberi kesan langsung kepada golongan berpendapatan rendah dan sederhana.

“Melengkapi usaha Kerajaan MADANI untuk merancakkan ekonomi dan memperkukuh jaringan keselamatan sosial, hasil tambahan daripada penambah baikan SST ini akan membolehkan penambah baikan lanjut dalam perkhidmatan awam khususnya peningkatan jumlah bantuan tunai kepada rakyat, serta memperkukuh prasarana asas dan penyampaian perkhidmatan awam.

“Tambahan hasil ini dapat dimanfaatkan seluruh negara tanpa menambah beban kepada majoriti rakyat,” katanya.

Selaras dengan itu, skop cukai perkhidmatan turut diperluas meliputi enam kategori perkhidmatan iaitu sewaan atau pajakan, kerja pembinaan, kewangan, jagaan kesihatan swasta, pendidikan dan kecantikan.

Perkhidmatan sewaan dan pajakan akan dikenakan cukai perkhidmatan sebanyak lapan peratus bagi penyedia perkhidmatan yang mempunyai pendapatan melebihi RM500,000 setahun.

Walau bagaimanapun, pengecualian diberi kepada perkhidmatan sewaan kediaman, bahan bacaan, pajakan kewangan luar negara serta penyewa perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

Bagi perkhidmatan kerja pembinaan, cukai perkhidmatan pada kadar enam peratus hanya dikenakan kepada syarikat yang mencapai nilai ambang RM1.5 juta setahun, dengan pengecualian kepada projek bangunan kediaman dan kemudahan awam.

Cukai perkhidmatan ke atas perkhidmatan kewangan pula dikenakan pada kadar lapan peratus terhadap perkhidmatan berasaskan fi atau komisen, manakala perbankan asas, perkhidmatan patuh syariah dan transaksi berkaitan eksport dan kiriman wang dikecualikan.

Dalam sektor kesihatan, cukai perkhidmatan sebanyak enam peratus hanya dikenakan terhadap warga asing bagi perkhidmatan kesihatan swasta dan tradisional, termasuk fisioterapi, audiologi serta terapi pertuturan.

Warganegara Malaysia dikecualikan sepenuhnya bagi perkhidmatan kesihatan ini demi menjamin akses kesihatan yang lebih menyeluruh kepada rakyat.

Kerajaan turut menetapkan bahawa cukai perkhidmatan sebanyak enam peratus akan dikenakan kepada institusi pendidikan swasta prasekolah, rendah dan menengah yang mengenakan yuran melebihi RM60,000 setahun bagi setiap pelajar.

Pendidikan tinggi untuk warganegara serta pendidikan untuk golongan orang kurang upaya (OKU) dikecualikan.

Selain itu, perkhidmatan kecantikan seperti rawatan muka dan dandanan rambut akan dikenakan cukai perkhidmatan sebanyak lapan peratus sekiranya jumlah perkhidmatan bercukai mencecah RM500,000 dalam tempoh 12 bulan.

Kerajaan MADANI percaya bahawa hasil tambahan daripada pelaksanaan semakan dan perluasan SST ini dapat dimanfaatkan untuk meningkatkan bantuan tunai kepada rakyat, memperkukuh infrastruktur asas dan menambah baik penyampaian perkhidmatan awam tanpa membebankan majoriti rakyat.

Related Posts

Isu binaan haram dan kepentingan negara

RAMAI mempersoalkan mengapa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim (PMX) begitu tegas terhadap para pendemo berkaitan isu kuil haram. Ada yang menafsirkannya sebagai sikap keras terhadap kebebasan bersuara. Namun tafsiran…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Realiti ekonomi Terengganu: Angka besar belum tentu ubah nasib rakyat

POSTER propaganda yang mendakwa Terengganu kini ‘bersih, telus dan maju tanpa rasuah’ mungkin kelihatan meyakinkan di atas kertas. Angka untung ratusan juta, hutang berkurang dan pengiktirafan indeks ketelusan digunakan untuk…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Laporan tidak berasas jejas keyakinan awam – SPRM

Laporan tidak berasas jejas keyakinan awam – SPRM

UKAS perkukuh peranan PRO, mantapkan komunikasi kerajaan

UKAS perkukuh peranan PRO, mantapkan komunikasi kerajaan

Sasaran dua tahun capai keperluan penuh bekalan air Sandakan

  • By Fandi
  • February 10, 2026
Sasaran dua tahun capai keperluan penuh bekalan air Sandakan

Lake Duck Paddle Boat galak gaya hidup sihat

Lake Duck Paddle Boat galak gaya hidup sihat

SPRM bongkar tuntutan palsu diesel RM114,000

SPRM bongkar tuntutan palsu diesel RM114,000

Kuil haram di lebuhraya: Bila sentimen mengatasi undang-undang

Kuil haram di lebuhraya: Bila sentimen mengatasi undang-undang