KUCHING – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Sarawak mengambil tindakan tegas terhadap peniaga yang didapati menjual barang kawalan secara tidak sah.
Dalam kenyataan rasmi KPDN, tindakan ini diambil selepas menerima aduan daripada orang awam mengenai penjualan minyak masak dan gula secara dalam talian.
Pada 18 Oktober lalu, sepasukan enam pegawai Penguat Kuasa KPDN menjalankan pemeriksaan di sebuah premis perniagaan di Jalan Setia Raja, Kuching.
Hasil pemeriksaan tersebut, mereka berjaya menemui sejumlah 2,340kg minyak masak peket bersubsidi 1kg dan 936kg gula pasir kasar 1kg.
Difahamkan jumlah keseluruhan sitaan dianggarkan bernilai RM 8,517.60.
Pihak KPDN Sarawak membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 21, Akta Kawalan Bekalan 1961.
Seksyen ini berkaitan dengan pemilikan atau kawalan barang kawalan dalam keadaan yang menimbulkan syak melakukan kesalahan.
Masyarakat diminta untuk menjadi mata dan telinga bagi membantu Kementerian dengan memberikan maklumat tentang sebarang aktiviti penyelewengan barang kawalan bersubsidi.
Ini penting untuk memastikan aktiviti penyelewengan dapat dibanteras hingga ke akar umbi yang boleh mengakibatkan kerugian besar kepada rakyat dan negara.






