DASAR dan inisiatif Kerajaan Selangor mengutamakan saringan awal merupakan pendekatan pencegahan penyakit tidak berjangkit (NCD) di negeri ini.
Exco Kesihatan, Jamaliah Jamaluddin berkata, usaha itu seiring peningkatan kes penyakit barah tahap tiga dan empat, mencecah 64.1 peratus antara 2017 hingga 2021, berbanding 63.7 peratus pada 2012 hingga 2016.
“Trend peningkatan ini amat membimbangkan kerana pengesanan lewat bukan sahaja mengurangkan peluang untuk sembuh, tetapi turut meningkatkan kos rawatan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam pelancaran Laporan Impak 10 Tahun My Starfish Foundation dan pengumuman kempen Bald & Beautiful Day 2025 di Shah Alam, semalam.
Jamaliah berkata, Kerajaan Negeri melaksanakan beberapa program proaktif berteraskan pencegahan awal seperti Selangor Saring, iaitu saringan kesihatan percuma bagi penyakit tidak berjangkit.

Turut dilaksanakan, katanya, Bantuan Sihat Selangor – inisiatif untuk kos rawatan, peralatan dan ubat kepada pesakit barah serta Iltizam Selangor Sihat bagi rawatan asas dan suntikan vaksin.
“Keutamaan kita pencegahan penyakit, bukan semata-mata rawatan untuk memastikan rakyat Selangor menerima akses saringan berkualiti dan kesedaran awal yang mampu menyelamatkan nyawa,” katanya.
Sementara itu, Jamaliah memuji peranan My Starfish Foundation sebagai rakan masyarakat yang giat memperjuangkan kesedaran kesihatan dan sokongan kepada pesakit barah melalui pelbagai inisiatif.
Jelasnya, kerjasama antara sektor awam dan komuniti amat penting dalam membina sistem sokongan yang menyeluruh dan penuh empati.
Kempen Bald & Beautiful Day 2025 akan berlangsung pada 28 September depan di pusat beli-belah Elmina Lakeside dengan tema “Empower Hope, Here for Cancer!”.
Acara tahunan itu merangkumi larian amal, aktiviti kesihatan, sesi mencukur kepala sebagai acara simbolik yang melibatkan pelbagai lapisan masyarakat dalam suasana inklusif dan penuh inspirasi.





