
KERAJAAN Perpaduan Negeri Selangor telah menubuh sekretariat bagi mengukuhkan lagi kerjasama yang terbentuk antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).
Dikenali sebagai Sekretariat Kerajaan Perpaduan Negeri Selangor, Pengerusi PH negeri itu Datuk Seri Amirudin Shari berkata, penubuhannya dapat memperkemaskan sekali gus mengukuhkan lagi kerjasama kedua-dua parti dalam banyak perkara termasuk urusan pentadbiran dan hubungan dua hala antara parti.
Beliau yang juga Menteri Besar Selangor berkata, sekretariat turut bakal mengatur beberapa program yang akan dilaksana bersama sehingga menuju pilihan raya.
“Antaranya diadakan pemukiman dengan menjemput Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk ikat hubungan lebih erat .
“Kerjasama akan terus dipereratkan hingga pilihan raya dengan mengguna pakai modul peringkat pusat ke Selangor,” katanya kepada media di Dataran Sungai Tua, Selayang, semalam.
Sebelum ini, media melaporkan, mesyuarat Sekretariat Kerajaan Perpaduan Negeri Selangor telah diadakan pada Khamis lalu yang dipengerusikan Setiausaha Perpaduan Negeri Selangor Datuk Dr Mohd Khairuddin Othman.
Mesyuarat yang julung kali diadakan itu telah membincangkan penubuhan jawatankuasa sekretariat dan gerak kerja untuk menyatupadukan parti-parti di bawah naungan Kerajaan Perpaduan di negeri Selangor.





