
LEBIH sejuta ahli kesatuan pekerja akan menerima diskaun sehingga 30 peratus daripada lebih 100 syarikat yang menawarkan barangan dan perkhidmatan penting menerusi pelaksanaan Kad Pekerja MADANI.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan inisiatif itu adalah untuk menghargai pekerja dan meringankan beban kos sara hidup mereka.
“Kad Pekerja MADANI untuk memberikan ruang kepada ahli kesatuan yang ada kad pekerja diberi diskaun bagi pelbagai kemudahan,” katanya.
Anwar berkata demikian dalam amanat khas pada sambutan Hari Pekerja Peringkat Kebangsaan 2025 di Axiata Arena, Bukit Jalil di sini hari ini.
Antara syarikat yang terlibat menawarkan akses kepada diskaun tersebut ialah AEON, Mydin, Jakel, Marrybrown, Genting, Old Town White Coffee, Zuss Coffee, SOCAR dan Bateriku.
Membawa tema ‘Pekerja Kesuma Bangsa, Malaysia MADANI’ program dihadiri lebih 10,000 peserta terdiri daripada Kesatuan Pekerja, Badan Berkanun dan Wakil Majikan.
Turut sama hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof, Menteri Sumber Manusia, Steven Sim serta Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.








