
BETONG – Seramai 28 Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di Betong menerima dana Program Sejahtera Komuniti Madani (SejaTi Madani) bernilai RM2.75 juta.
Menurut Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, penyaluran dana ini menyokong pelaksanaan 32 program yang mendapat kelulusan, dengan matlamat utama untuk merangsang pertumbuhan ekonomi dan meningkatkan kesejahteraan masyarakat.
“Antara program yang diluluskan ialah tiga kategori utama iaitu pertanian dan makanan, pelancongan dan hospitaliti serta jahitan dan kraftangan,” kata beliau ketika berucap dalam satu majlis ringkas di Dewan Layar, Pejabat Daerah Betong pada Selasa.
Sementara itu, Douglas merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas inisiatif melaksanakan program yang penting dalam memastikan kesejahteraan masyarakat luar bandar terpelihara dan terus berkembang maju.
“SejaTi Madani bukan membawa perubahan kepada komuniti tetapi memberi peluang kepada masyarakat untuk meningkatkan taraf ekonomi mereka,” kata beliau lagi.





