HARI raptai penuh sambutan Hari Kebangsaan 2025 di Dataran Putrajaya hari ini menjadi pilihan utama segelintir rakyat Malaysia yang mahu menikmati suasana perarakan dalam keadaan lebih selesa dan kurang sesak berbanding hari sambutan rasmi.
Tinjauan The Malaysia Press mendapati ramai ibu bapa sanggup mengambil cuti dan datang awal bersama anak-anak bagi memberi pendedahan awal terhadap semangat patriotisme selain mengelakkan kesesakan dan kekangan logistik yang biasanya berlaku pada hari sambutan utama.
Seorang pekerja swasta dari Dengkil, Aznida Azmi berkata, dia mengambil cuti lebih awal sejak tahun lepas semata-mata untuk hadir ke hari raptai bersama tiga orang anaknya.

“Saya memang lebih memilih datang masa hari raptai daripada hari kejadian. Hari raptai lebih lengang, tidak terkejar-kejar, dan masih sempat solat Subuh di rumah,” katanya ketika ditemui TMP pada Jumaat.
Menurutnya lagi, ada sekolah di Putrajaya yang memberikan markah tambahan bagi mata pelajaran Pendidikan Jasmani dan Kesihatan kepada pelajar yang hadir, dan ini menjadi satu galakan kepada ibu bapa untuk membawa anak-anak turut serta.
Dari utara tanah air, Aina Sani dari Bukit Mertajam, Pulau Pinang, tidak melepaskan peluang menghadiri raptai penuh bersama keluarganya. Mereka tiba seawal pukul 7.30 pagi setelah menginap di Putrajaya.

“Kami memang minat perarakan. Hari ini jalan pun kurang sesak dan semangat datang awal itu memang seronok. Anak saya yang kecil pun teruja,” katanya dengan penuh bangga.
Bagi penduduk dari Klang, Nurul Masitah, pemilihan hari raptai lebih praktikal dari segi perjalanan kerana jalan-jalan utama kebanyakannya masih dibuka dan pergerakan lebih lancar.

“Saya bertolak dari Bukit Jalil seawal jam 5.30 pagi dan sampai jam 7 pagi. Saya bawa dua orang anak dan mereka sangat teruja melihat perarakan depan mata.
“Selamat Hari Kemerdekaan Malaysia, saya sayang Malaysia!”, ujarnya.
Bagi pengunjung kali pertama, Christina Hooi, pengalaman menyaksikan perarakan secara langsung pada hari raptai amat bermakna dan jauh lebih memuaskan berbanding menonton di televisyen.

“Saya hadir pada hari raptai kerana kurang sesak dan senang untuk merakam video perarakan. Walaupun sukar cari tempat letak kereta, akhirnya jumpa juga,” katanya
Dia turut terharu melihat penyertaan rakyat pelbagai kaum dan bangsa.
Sambutan Hari Kebangsaan 2025 akan berlangsung di Dataran Putrajaya pada Ahad ini dengan dimeriahkan dengan pelbagai acara menarik yang mana ia dijangka bermula pada pukul 8 pagi.








