IBU kepada Allahyarham Zara Qairina Mahathir meluahkan kekecewaan apabila tidak dimaklumkan pentingnya bedah siasat dalam mencari punca kematian anaknya secara terperinci.
Noraidah Lamat, 45, berkata, mengakui dia tidak dapat berfikir dengan waras ketika diminta untuk memberi kebenaran bagi menjalankan proses tersebut ke atas anaknya yang meninggal dunia pada 17 Julai lalu.
Dia mendakwa tidak menerima penjelasan terperinci daripada pihak berwajib mengenai tujuan dan keperluan bedah siasat ketika diminta membuat keputusan.
“Saya terkejut, panik dan tidak dapat membuat keputusan yang wajar ketika kejadian. Tiada nasihat diberikan dan jika kami tahu, kami tidak akan tandatangan dokumen menolak bedah siasat itu
“Tiada penjelasan yang jelas dan kami memang tidak biasa dengan kes seperti ini. Kami panik dan tiada nasihat diberikan mengenai proses bedah siasat.
“Jika kami tahu (kepentingan membuat bedah siasat), kami tidak akan tandatangan dokumen bagi menolak bedah siasat itu,” katanya menerusi satu komen di Facebook, pada Khamis.
Peguamnya, Hamid Ismail, mengesahkan akaun dengan nama pengguna ‘Noie AiDa’ adalah milik Noraidah.

Pada Rabu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendedahkan memang terdapat ketidakpatuhan prosedur oleh pihak polis kerana gagal menjalankan bedah siasat.
Bagaimanapun, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Datuk M Kumar berkata, Noraidah sendiri menandatangani dokumen yang dikeluarkan pihak hospital untuk tidak membenarkan bedah siasat dijalankan terhadap jenazah anaknya.
Zara Qairina meninggal dunia pada 17 Julai lalu di Hospital Queen Elizabeth, sehari selepas ditemui tidak sedarkan diri di asrama sekolahnya di Papar.
Jabatan Peguam Negara kemudian mengarahkan supaya mayat pelajar itu digali semula dan bedah siasat dilakukan pada Ahad lalu.
Mayat Zara Qairina dikebumikan semula di Tanah Perkuburan Islam Tanjung Ubi di Sipitang Isnin lalu.









