
DATUK Seri Amirudin Shari menegaskan beliau akan terus kekal menjadi Menteri Besar Selangor sehingga pilihan raya umum akan datang.
Kenyataan itu melenyapkan spekulasi kononnya Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz akan menggantikan beliau menerajui pentadbiran Kerajaan Negeri Selangor seperti dilaporkan sebelum ini.
Amirudin berkata, terdapat pelbagai bentuk spekulasi yang tular sejak tiga hari lalu mengenai kedudukan beliau selaku Menteri Besar Selangor.
“Sebagaimana nasihat Duli Yang Maha Mulia (Sultan Selangor), Tuanku dan perkenan baginda untuk saya menyebut nasihat ini kepada semua.
“Saya akan kekal di Selangor sehingga ke akhir penggal ini demi menjamin kestabilan ekonomi dan Kerajaan Perpaduan Negeri Selangor,” katanya dalam kenyataan.
Sebelum ini, media melaporkan desas-desus Tengku Zafrul yang juga Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri akan meninggalkan UMNO untuk menyertai PKR sekali gus dikaitkan untuk menerajui Selangor menggantikan Amirudin yang akan ke Kabinet.
Sementara itu, Tengku Zafrul dalam kenyataannya berkata, beliau akan memberi penjelasan mengenai desas-desus ini dalam masa terdekat.





