
KUCHING – Kerajaan Sarawak terus mengorak langkah memperluas jaringan promosi pelancongan dan perdagangan ke peringkat antarabangsa menerusi penubuhan pejabat pelancongan Sarawak di beberapa lokasi strategik luar negara.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata setakat ini, dua pejabat pelancongan telah diwujudkan masing-masing di Singapura dan Brunei Darussalam.
“Perancangan juga sedang dibuat untuk membuka pejabat pelancongan di Pontianak, Kalimantan Barat, Indonesia.
“Selain itu, kita turut mempertimbangkan pembukaan pejabat pelancongan di Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu sekiranya terdapat keperluan,” katanya.
Menurutnya, langkah ini penting bagi mengukuhkan kehadiran Sarawak di pasaran serantau dan global, selain menarik lebih ramai pelabur serta pelancong luar ke negeri ini.
Abdul Karim berkata, usaha promosi pelancongan Sarawak turut dipergiat di beberapa negara utama seperti China, Korea Selatan, Jepun dan Singapura.
“Pelancong dari Jepun menunjukkan peningkatan dan ada antara mereka turut memohon untuk menyertai program Sarawak-Malaysia My Second Home (S-MM2H).
“Permohonan ini mendapat sambutan menggalakkan, terutama daripada warganegara China dan Eropah yang melihat Sarawak sebagai destinasi selamat dengan kemudahan kesihatan yang baik,” katanya.
Tambah beliau, Korea Selatan juga menghantar pelajar ke Sarawak bagi mengikuti pengajian bahasa Inggeris melalui program sama.
“Setakat tahun lalu, hampir 600 permohonan S-MM2H telah diluluskan,” ujarnya.





