
BRUNEI – Sarawak berhasrat memperuntukkan RM6 bilion untuk membangunkan Lebuh Raya Pesisir Utara.
Difahamkan lebuh raya tersebut menghubungkan Miri, Limbang dan Lawas menerusi Brunei Darussalam.
Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg menjelaskan projek tersebut dijangka siap dalam masa enam tahun.
“Kita sudah mengenal pasti penjajaran dan dijangka akan bermula tahun depan,” kata beliau.
Tambah beliau, ia merupakan jalan raya berkembar dan tempatnya bergunung-ganang.
“Jalan tersebut akan dibina di sisi gunung, jadi jalan itu menaik menuju ke Limbang dan Lawas,” kata beliau lagi.
Beliau berkata demikian ketika hadir merasmikan Majlis Pembukaan Pejabat Perdagangan dan Pelancongan Sarawak (STATOB) di Brunei Darussalam di Bandar Seri Begawan pada Khamis.
Sementara itu, Abang Johari berkata, jalan tersebut akan mengekalkan muka buminya dan tidak dipotong.
“Saya yakin dengan ekosistem yang sedia ada dan pemandangan semula jadi mampu menarik pelaburan dalam industri pelancongan,” ujar beliau lagi.





