
KUCHING – Sarawak memerlukan dana lebih RM100 bilion untuk tujuan pelbagai pembangunan dalam tempoh Rancangan Malaysia ke-13 (RMK-13).
Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata pembinaan 1,292km jalan baharu dan naik taraf 4,782km jalan sedia ada memerlukan RM38.4 bilion.
Selain itu, Abang Johari menjelaskan dianggarkan lebih 5,500 isi rumah belum dapat menikmati bekalan elektrik.
“Justeru itu, Sarawak memerlukan peruntukan RM1.3 bilion untuk mencapai 100 peratus bekalan elektrik 24 jam di luar bandar,” kata beliau.
Beliau berkata demikian ketika teks ucapan beliau dibaca oleh Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Unggah pada majlis Sesi Libat Urus RMK-13 pada Rabu.
Abang Johari berkata sebanyak RM7.89 bilion juga diperlukan untuk pembinaan fasiliti kesihatan baharu termasuk menaik taraf, membaik pulih dan menyelenggara fasiliti keihatan.
“Kerajaan Sarawak juga memerlukan dana RM5.2 bilion untuk mengatasi masalah sekolah daif serta RM54 juta untuk mengatasi kekurangan kemudahan makmal sains,” ujar beliau lagi.
Selain itu, Abang Johari juga menjelaskan RM6.3 bilion diperlukan untuk tujuan struktur telekomunikasi untuk mencapai liputan Internet sepenuhnya di Sarawak selain RM140 juta untuk tujuan pengukuran tanah adat bumiputera (NCR).




