
KUCHING – Sambutan Hari Alam Sekitar Negara (HASN) 2025 peringkat negeri Sarawak menyerlahkan komitmen berterusan kerajaan negeri dalam memperkukuh agenda pembangunan mampan berteraskan tema ‘Driving Sustainability, Achieving Net Zero’.
Majlis yang dianjurkan oleh Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB) Sarawak dengan kerjasama Jabatan Alam Sekitar (JAS) Sarawak itu telah dirasmikan oleh Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Sambutan tersebut menghimpunkan agensi kerajaan, pihak industri serta masyarakat awam bagi memperkukuh kesedaran bersama terhadap pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar.
Sebagai rakan strategik, Trienekens (Sarawak) Sdn Bhd turut menyertai sambutan berkenaan sebagai tanda sokongan terhadap visi hijau negeri melalui amalan teknologi hijau dan pengurusan sisa pepejal secara lestari.
“Kami komited menyokong visi hijau Sarawak. Trienekens akan terus bekerjasama dengan NREB, JAS dan semua pihak berkepentingan bagi memperkukuh sistem pengurusan sisa pepejal melalui inovasi, teknologi moden serta amalan mesra alam,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Trienekens, Stephen Chin.
Pada majlis sama, Trienekens turut menyerahkan sumbangan RM20,000 kepada Tabung Pendidikan Alam Sekitar (Environmental Education Fund – EEF) bagi menyokong pelaksanaan program pendidikan alam sekitar kepada sekolah dan komuniti setempat di seluruh Sarawak.
Inisiatif itu bertujuan memperluas kesedaran awam, memupuk budaya tanggungjawab terhadap alam sekitar serta memperkukuh pendidikan kelestarian di peringkat akar umbi.
Menjelang sambutan berkenaan, pelbagai program kesedaran turut dianjurkan termasuk kempen pengumpulan sisa elektrik dan elektronik (BEE) di Kuching, Bintulu dan Miri, program pembersihan pantai di Pantai Pandan, Kem Eko untuk sekolah di Lundu dan Sematan, serta program kesedaran komuniti di Sematan.
Penganjuran HASN 2025 sekali lagi menzahirkan iltizam Sarawak dalam usaha melindungi alam sekitar dan membina masa depan negeri yang lebih hijau, bersih dan lestari.
Kredit foto:FB Trienekens Sdn Bhd





