
KUCHING – Sarawak kini negeri paling hadapan di Malaysia dalam sektor tenaga diperbaharui.
Menurut Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof, Sarawak berjaya mencapai 60 peratus dalam sektor tenaga diperbaharui.
“Ini termasuk kuasa hidro, tenaga solar, empangan melata dan biojisim,” kata beliau.
Tambah beliau, kebanyakan negeri lain hanya fokus tenaga solar berikutan sumber sungai agak kurang berbanding Sarawak.
“Namun begitu, komitmen kita bersama sebagai sebuah negara menjelang 2050 adalah untuk mencapai pelepasan sifar bersih karbon yang turut menjadi agenda utama kepada semua negeri di peringkat kebangsaan bagi mencapai sasaran tersebut,” kata beliau ketika berucap pada Malam Mesra Media 2024 (Sarawak) di sebuah hotel terkemuka pada Ahad.
Sementara itu, Fadillah merangkap Menteri Peralihan Tenaga Dan Transformasi Air berkata lagi, pihaknya akan terus menyokong usaha kerajaan Sarawak dalam projek utiliti air.
“Salah satu tanggungjawab kami dalam peringkat Persekutuan ialah melaksanakan pelbagai program sokongan secara geran atau pinjaman kepada pihak kerajaan negeri di seluruh Malaysia,” ujar beliau.







