KUCHING: Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata Kerajaan Sarawak menunjukkan komitmen dalam memperkasakan pelancongan yang mampan.
“Kerajaan Sarawak sentiasa mahu menjadi peneraju destinasi destinasi ekopelancongan terkemuka,” ujar Karim sambil memberitahu aspirasi utama yang selalu ditekankan oleh Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Tambah Karim, inisiatif ini juga selari dengan Strategi Pembangunan Pasca-Covid 19 (PCDS) 2030.
“Strategi ini merangkumi inisiatif di enam sektor ekonomi utama, dengan pelancongan memainkan peranan penting dalam memacu pertumbuhan ekonomi, meningkatkan inklusiviti sosial, dan memastikan kelestarian alam sekitar,” kata Karim lagi.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Pembukaan Persidangan Antarabangsa Pelancongan dan Hospitaliti Bertanggungjawab (ICRTH) 2024 di Kuching, semalam.
Sementara itu, Karim pengiktirafan Gua Niah sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO memperkukuhkan destinasi tersebut sebagai lokasi utama pelancongan.
“Semestinya pengiktirafan Gua Niah dapat mempamerkan keindahan alam semula jadi di Sarawak,” kata Karim lagi.
Turut hadir Timbalan Menteri MTCP, Datuk Sebastian Ting Chiew Yew, Setiausaha Tetap MTCP, Datuk Sherrina Hussaini, dan tetamu-tetamu kehormat lain





