
KUCHING – Sarawak mempunyai potensi yang sangat besar menjadi hab tenaga serantau.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan Sarawak mampu menjadi hab tenaga serantau kerana ia menjadi satu-satunya negeri yang sanggup mengeluarkan dana sendiri untuk membangunkan infrastruktur seperti lebuh raya, bekalan air dan elektrik, jambatan.
“Sarawak mempunyai sistem politik yang sangat stabil, pemimpin yang mempunyai wawasan serta mencungkil bakat baharu dalam membangunkan negeri,” ujarnya.
Anwar turut memuji Sarawak memberi sumbangan dana yang besar berbanding negeri lain sekali gus negeri yang mencatat kemajuan lebih awal.
“Di mana-mana saya pergi termasuk negara di Eropah, China, Jepun dan ASEAN, kita anggap Sarawak ini mempunyai potensi yang besar sebagai hab tenaga serantau,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Aidilfitri MADANI 2025 Peringkat Sarawak di Stadium Perpaduan pada Sabtu.
Anwar berkata, banyak perubahan yang besar berlaku di Sarawak berbanding dahulu.
“Kalau ditanya saya, banyak perubahan berlaku sehingga Sarawak menjadi negeri yang paling atas,” katanya lagi.
Anwar memberi contoh bahawa Sarawak antara paling ke hadapan dalam bidang minyak dan gas.
“Pemimpin yang tegas dan berwawasan menjadi Sarawak terus maju ke hadapan,” ujarnya lagi.








