Sarawak bakal laksana projek perintis pendaftaran perniagaan lebih pantas mulai Ogos

SIBU – Proses pendaftaran perniagaan di Sarawak bakal mengalami transformasi besar apabila Kerajaan Negeri melaksanakan projek perintis selama enam bulan bermula 1 Ogos ini bagi mempercepat dan memudah cara urusan memulakan perniagaan di negeri ini.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Prof Dr Sim Kui Hian berkata, projek rintis itu akan dijalankan di dua lokasi terpilih iaitu Sibu dan Kanowit sehingga akhir Februari 2026.

“Inisiatif ini merupakan kerjasama antara Unit Transformasi dan Inovasi Sarawak (STIU) Jabatan Premier Sarawak, Kementerian Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak serta Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC),” katanya dalam sidang media di sebuah hotel terkemuka pada Isnin.

Dr Sim berkata, sistem pendaftaran perniagaan sedia ada memerlukan pemohon berurusan dengan pelbagai agensi termasuk Pejabat Daerah, LHDN, Jabatan Perbendaharaan Bahagian, pihak berkuasa tempatan, Jabatan Bomba, Jabatan Tanah dan Ukur serta Jabatan Kesihatan.

“Prosedur ini membebankan dan mengambil masa lebih 60 hari bekerja, malah pemohon terpaksa mengisi pelbagai borang berbeza di lokasi berlainan,” ujarnya.

Namun melalui projek perintis ini, semua proses pendaftaran termasuk permohonan nama perniagaan, lesen perdagangan dan lesen operasi akan diselaraskan oleh satu agensi tunggal iaitu pihak berkuasa tempatan melalui pusat fasilitasi khas di kedua-dua daerah.

Bagi Sibu, proses akan dilaksanakan di Sarawak Service Centre, UTC Sibu melibatkan Majlis Perbandaran Sibu dan Majlis Daerah Luar Bandar Sibu. Manakala di Kanowit, kaunter khas akan disediakan di bawah pengurusan Majlis Daerah Kanowit.

“Pemohon hanya perlu mengisi satu borang komposit merangkumi semua jenis permohonan, sekali gus memudahkan proses dan menjimatkan masa,” katanya lagi.

Melalui sistem baharu ini, tempoh pemprosesan dijangka dipendekkan kepada hanya lima hari bekerja bagi perniagaan berisiko rendah yang memerlukan lesen nama dan perdagangan, manakala maksimum 14 hari bekerja bagi perniagaan yang memerlukan lesen operasi.

“Bagi perniagaan berisiko tinggi seperti penjualan gas, pusat hiburan, penjagaan warga emas dan kanak-kanak serta refleksologi, tempoh pemprosesan dijangka tidak melebihi 30 hari bekerja,” katanya.

Menurutnya, pendekatan ini juga seiring dengan Pelan Induk Ekonomi Digital Sarawak 2030 yang menekankan penggunaan sistem digital dalam perkhidmatan kerajaan termasuk pendaftaran perniagaan secara dalam talian.

“Beberapa sistem digital sedia ada seperti e-R&DO dan e-LA2 turut akan dinaik taraf bagi menyokong usaha digitalisasi ini,” tambah beliau.

Beliau turut menyeru semua agensi terlibat agar memberikan komitmen penuh bagi memastikan kejayaan projek ini yang dilihat sebagai asas penting dalam menjadikan Sarawak destinasi mesra pelabur dan berdaya saing tinggi.

Related Posts

Guru pelatih maut tercampak, kenderaan dipandu terbabas

TAWAU – Seorang guru pelatih wanita maut selepas motokar yang dipandu terbabas sendiri dalam insiden kemalangan di Batu 11 Jalan Apas, di sini, tengah hari Jumaat. Dalam kejadian kira-kira pukul…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Penduduk P.Pinang sokong sambungan jajaran LRT Laluan Mutiara

GEORGE TOWN – Sebanyak 99 peratus daripada lebih 16,000 responden menyatakan sokongan terhadap cadangan sambungan jajaran Projek Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Mutiara, sekali gus mencerminkan penerimaan tinggi rakyat terhadap…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Guru pelatih maut tercampak, kenderaan dipandu terbabas

Guru pelatih maut tercampak, kenderaan dipandu terbabas

Data tidak menipu!

Data tidak menipu!

Penduduk P.Pinang sokong sambungan jajaran LRT Laluan Mutiara

Penduduk P.Pinang sokong sambungan jajaran LRT Laluan Mutiara

Saya diberi amanah rampas kembali kerusi Parlimen Indera Mahkota – Farhan

Saya diberi amanah rampas kembali kerusi Parlimen Indera Mahkota – Farhan

Kutipan zakat fitrah Pulau Pinang melonjak hampir RM10 juta

Kutipan zakat fitrah Pulau Pinang melonjak hampir RM10 juta

Seleweng diesel tumpas, KPDN Perak rampas lebih 5,000 liter

Seleweng diesel tumpas, KPDN Perak rampas lebih 5,000 liter